GEORGE TOWN: Kira-kira 200,000 pengguna air di daerah Barat Daya dan Seberang Perai di sini, berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual hari ini susulan kejadian paip pecah sepanjang 1,350 milimeter di dasar Sungai Perai.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, PBAPP akan menghebahkan senarai kawasan yang terjejas dalam masa terdekat.
”PBAPP tidak dapat memberikan notis awal, namun telah menasihatkan orang ramai melalui Facebook untuk menyimpan air bagi kegunaan harian pukul 12.30 tengah malam tadi.
”PBAPP memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku. Kami akan memberikan kemas kini dengan kerap di Facebook hari ini.
”Kami juga akan mengumumkan jangkaan masa gangguan bekalan air sebaik sahaja kami mendapat komitmen daripada pakar kontraktor yang akan menjalankan kerja-kerja hari ini,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, PBAPP sedang melaksanakan pelan tindak balas kecemasan untuk membaiki saluran paip yang pecah itu.
”Ia adalah saluran paip utama yang menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke saluran paip ketiga dasar laut ke kawasan Maccalum di pulau dari Butterworth,” katanya.
Tambahnya, saluran paip pecah itu ditemui kira-kira pukul 8.26 pagi semalam dan PBAPP telah melantik kontraktor pakar yang berpangkalan di Port Klang untuk menyiasat kejadian itu kerana saluran paip terletak di dasar sungai kira-kira 3.5 meter di bawah permukaan sungai.
“Pakar penyelam komersial dari Port Klang tiba di tempat kejadian petang semalam.
“PBAPP telah membuat kawalan injap untuk mengurangkan aliran air sebanyak kira-kira 75 peratus untuk memudahkan kerja pemeriksaan bawah air. Para penyelam telah menyelam pada pukul 10.30 malam tadi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, semasa pemeriksaan awal, penyelam telah menemukan lubang berukuran kira-kira 20 x 30 sentimeter yang pecah pada bahagian permukaan saluran paip.
“Hari ini, kerja kimpalan oleh pakar dalam air dijadualkan untuk membaiki saluran paip dengan mengimpal plat keluli 60 x 60 sentimeter di atas bahagian yang pecah.
“Kerja-kerja kimpalan mesti dijalankan di bawah air, kira-kira 3.5 meter di bawah permukaan sungai. Kontraktor Port Klang akan menentukan masa terbaik untuk memulakan kerja berdasarkan cahaya (untuk penglihatan) dan keadaan sungai (untuk keselamatan),” katanya. – UTUSAN