20 Stesen Parol Daerah selia banduan jalani program pemulihan komuniti - Utusan Malaysia

20 Stesen Parol Daerah selia banduan jalani program pemulihan komuniti

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perintah tetap stesen parol antara Jabatan Penjara yang diwakili Nordin Muhamad (dua dari kiri) dengan Yahya Sulaiman yang mewakili Rela di Slim River. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Sebanyak 20 Stesen Parol Daerah (SPD) diwujudkan bagi memperkasakan tindakan pemantauan dan penyeliaan terhadap banduan yang sedang menjalani program pemulihan dalam komuniti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, SPD yang diwujudkan melalui kolaborasi agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Jabatan Penjara dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu mampu meningkatkan keberkesanan pemantauan melalui pelaksanaan intervensi yang efektif.

Katanya, seramai 40 anggota masing-masing daripada Jabatan Penjara dan Rela akan bertugas di SPD bagi melaksanakan penugasan berkenaan.

“SPD adalah pusat transit kepada Pegawai Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah bagi tujuan pemantauan dan penyeliaan ke atas Orang Di Parol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Penghuni Bebas Lesen (PBL).

“Kesemua SPD ini diwujudkan sebagai sokongan kepada 52 Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti sedia ada. SPD ini akan menggunakan ruang pejabat di pejabat Rela daerah terpilih,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Stesen Parol Daerah (SPD) Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kompleks Mini KDN di Slim River, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi; Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Pengarah Rela, Datuk Yahya Sulaiman.

Pada majlis sama, Saifuddin turut menyaksikan majlis menandatangani perintah tetap stesen parol antara Jabatan Penjara yang diwakili Nordin dengan Yahya yang mewaliki Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Selain itu, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Jabatan Penjara dengan Sime Darby Plantation Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Operasi Huluan Malaysia, Jefrey Faizal Kamaruddin.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya merancang untuk mewujudkan SPD di setiap daerah di seluruh negara namun langkah itu bergantung kepada jumlah peruntukan yang diterima KDN.

“Kalau ikutkan, kita mahu ada SPD di semua 222 Parlimen, namun sudah pasti ada kekangan terutama membabitkan bajet. Buat masa sekarang, kita manfaatkan jumlah yang ada,” katanya.

Selain Muallim, SPD juga terletak di Kerian, Perak, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang; Petaling dan Sepang di Selangor; Jasin dan Ayer Keroh di Melaka; Muar dan Mersing di Johor serta di Maran, Bentong dan Rompin di Pahang.

Selain itu, Port Dickson, Negeri Sembilan; Dungun, Terengganu; Gua Musang dan Pasir Mas di Kelantan, Lahat Datu di Sabah dan Betong dan Limbang di Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya