2 set mesin karoke disita, miliki 12 lagu cetak rompak - Utusan Malaysia

2 set mesin karoke disita, miliki 12 lagu cetak rompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyita dua set mesin karaoke yang mengandungi 12 lagu disyaki salinan langgaran dalam serbuan ke atas sebuah premis perniagaan di Jalan Magazine, di sini semalam.

Pengarahnya, S Jegan berkata, operasi kira-kira 3.45 petang itu dijalankan bersama dengan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

S. JEGAN

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas premis perniagaan yang menjual peralatan aksesori eletronik itu mendapati terdapat dua set alat karaoke yang mengandungi karya muzik disyaki salinan langgaran.

“Sejumlah 12 lagu di mana karya hak cipta dimiliki oleh Suria Record, Life Record dan Universal Music telah ditemukan di dalam set karaoke tersebut.

”Pihak KPDN telah menyita dua set mesin karaoke yang mengandungi 12 lagu disyaki salinan langgaran dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM5,974,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki berusia sekitar 20-an yang merupakan pemilik premis telah diambil keterangan untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Akta Hakcipta 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan langgaran, atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi apa-apa kesalahan yang berikutnya didenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripada RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Tambahnya, KPDN memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba memiliki salinan langgaran akan dikenakan tindakan tegas.

“Kami mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam bagi membantu membanteras aktiviti memiliki salinan langgaran tanpa kebenaran oleh pemilik karya,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya