KUALA LUMPUR: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang bekas pegawai agensi itu mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak seorang ahli peniagaan warganegara China melibatkan barang dan wang tunai mencecah RM1 juta.
Dua pegawai SPRM, Muhamad Haffiz Mohd. Radzi, 33; dan Mohd. Fahmee Mohamad Nor, 41, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Seorang lagi tertuduh, Azwan Asli, 38, membuat pengakuan sama di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas harta kepunyaan Kun Gao iaitu wang tunai RM952,690 dan 1,225 yuan, selain satu bagasi serta satu beg berjenama di sebuah residensi mewah di Jalan Ampang di sini pada pukul 12 tengah hari, 10 Disember 2021.
Pendakwaan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Di hadapan Izralizam, Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin masing-masing terhadap Muhamad Haffiz dan Mohd. Fahmee.
“Syarat tambahan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya.
Namun, peguam bela yang mewakili Muhamad Haffiz, Ravichandaran Selliah, memohon jaminan RM5,000 ke atas anak guam selepas menyifatkan cadangan jaminan pihak pendakwaan keterlaluan dan tinggi.
“Anak guam ada dua anak berusia lima dan dua tahun selain berpendapatan RM3,000 dengan memegang jawatan sebagai pegawai SPRM Gred 41.
“Jika dibuat pengiraan, jaminan RM30,000 adalah 10 kali ganda daripada gaji bulanan anak guam dan dia tiada risiko melarikan diri,” katanya.
Peguam bela Mohd Fahmee, R. Vikraman pula berkata penjamin yang hadir hanya menyediakan RM4,000 untuk menjamin anak guam.
“Anak guam bertugas sebagai pegawai akademi SPRM Gred 44 dengan gaji RM3,500 dan elaun RM1,000 sebulan.
“Tertuduh juga adalah bapa tunggal yang membayar nafkah bekas isteri dan menanggung seorang anak sebanyak RM2,000 sebulan, selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dan tiada risiko melarikan diri,” katanya.
Izralizam membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan serta dua syarat lagi dicadangkan pendakwaan, selain menetapkan 5 Februari tahun depan untuk sebutan kes.
Sementara itu di hadapan Siti Aminah, Izalina mencadangkan jaminan RM30,000 manakala Vikraman yang turut mewakili Azman memohon jaminan RM4,500 terhadap bekas pegawai SPRM berkenaan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh sama. – UTUSAN