BAYAN LEPAS: Jabatan Perikanan Pulau Pinang menyita sebanyak 1,561 unit bubu naga dengan anggaran nilai RM234,150 di sekitar perairan negeri ini sejak Januari sehingga 13 Disember lalu.
Pengarahnya, Zarina Zainuddin berkata, ia termasuk 175 unit bubu naga dengan anggaran nilai RM26,250 yang telah disita di bawah Seksyen 11(3)(c) iaitu menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan bertolak-ansur terhadap isu pelanggaran peraturan dan perundangan serta menyeru semua nelayan atau mana-mana individu untuk tidak melakukan kesalahan yang menyalahi Akta Perikanan 1985 terutama apabila melibatkan aktiviti penangkapan ikan.
“Jika didapati bersalah akan dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM20,000 atau dua tahun penjara,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut Zarina, selain itu, pihaknya turut menahan seramai 24 kru nelayan warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun yang bertugas di enam vessel tempatan tanpa kebenaran sah sepanjang tempoh sama.
”Warga asing yang ditahan ini datang dari pelbagai negara antaranya Myanmar, Indonesia dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, ujar beliau, pihaknya turut menyita sebanyak 33 banih pukat hanyut yang melebihi 10 inci (25.4 sm) saiz mata pukat berukuran panjang 764 meter pada 6 Disember lalu.
”Rampasan ini dianggarkan bernilai RM16,500 dan penyitaan ini dilakukan semasa pasukan penguatkuasaan sedang menjalankan pemeriksaan darat di sekitar pangkalan-pangkalan nelayan di daerah Seberang Perai Selatan.
“Pukat hanyut yang melebihi 10 inci saiz mata pukat tersebut adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan), Akta Perikanan 1985,” katanya.
Tambahnya, penggunaan pukat itu dikhuatiri memerangkap spesis terancam dan dilindungi di perairan Pulau Pinang seperti ikan lumba-lumba dan penyu.
Ujar beliau, spesis haiwan berkenaan dilindungi di negeri ini dan penggunaan pukat hanyut boleh memerangkap penyu dan ikan lumba-lumba sekali gus menjadi kerugian kepada hidupan marin.
Kata beliau, pihaknya komited dalam menjalankan rondaan dan operasi-operasi darat dan laut secara berkala serta bersepadu termasuk dengan kerjasama daripada pelbagai agensi penguatkuasaan di Pulau Pinang bagi memastikan isu pelanggaran peraturan dan perundangan dapat dibanteras. – UTUSAN