105 pelajar UniSZA jadi mangsa banjir terima bantuan - Utusan Malaysia

105 pelajar UniSZA jadi mangsa banjir terima bantuan

RUSLAN Said (berdiri, empat dari kanan) bersama sebahagian pelajar UniSZA yang menerima sumbangan bantuan banjir daripada Jakim di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengagihkan sebanyak RM60,748 kepada 105 orang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menjadi mangsa banjir gelombang pertama pada bulan lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Ruslan Said berkata, setiap pelajar itu menerima sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM300, barangan keperluan, peralatan kebersihan dan kelengkapan solat.

Menurutnya, agihan itu disampaikan Jakim sebagai penyelaras sumbangan yang turut melibatkan pelbagai agensi lain di bawah bidang kuasa portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Turut menyumbang ialah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Tabung Haji, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan sebuah stesen televisyen swasta.

“Ini adalah tanggungjawab yang kita tunaikan berdasarkan tugasan yang diberikan iaitu sampaikan sumbangan kepada mangsa musibah di seluruh negara termasuk kebakaran dan banjir.

“Kebetulan Pantai Timur baru sahaja dilanda banjir dan kini Terengganu bersedia berdepan gelombang ketiga. Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan pelajar UniSZA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian agihan sumbangan bantuan tersebut di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam.

Sementara itu, beberapa pelajar UniSZA yang ditemui berkata, sumbangan tersebut dapat menceriakan mereka yang masih bersedih dengan banjir yang melanda baru-baru ini.

Pelajar Fakulti Undang-Undang, Fatimah Ar Rahimah Rosli, 23 berkata, kejadian banjir yang dialami itu merupaka. pengalaman kali pertama dan mengakui bimbang setiap kali hujan lebat berlaku.

“Kami seramai 11 pelajar menyewa di Padang Nenas, memang kelam kabut mengalihkan barangan seperti mesin basuh dan peti ais ketika rumah dimasuki air.

“Penat juga nak mengemas rumah, mujurlah pensyarah memahami beri kelonggaran untuk belajar secara atas talian dan UniSZA turut beri bantuan kit sumbangan barangan keperluan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya