KOTA BHARU: Banjir di Kelantan semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir di negeri ini semakin menurun kepada 3,593 orang berbanding 9,378 orang pagi semalam.
Sekretariat Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 4 petang semalam pengurangan sebanyak 5,794 orang mangsa itu menyaksikan 11 buah pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.
Menurutnya, 10 buah PPS yang ditutup adalah enam di Pasir Mas, selebihnya di Jeli (3) dan Tumpat.
“Kesemua mangsa banjir yang terlibat itu terdiri daripada 1,135 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS.
“Pasir Mas kekal mencatatkan bilangan mangsa yang paling ramai dengan 2,093 orang, Tumpat (1,469) dan Kuala Krai (31),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Sungai Golok di Rantau Panjang masih mencatatkan paras bahaya.
Bagaimanapun, Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai) dan Kusial (Tanah Merah) berada pada paras amaran manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja serta Sungai Pergau di Kampung Kelawar berada lada paras berjaga-jaga. – UTUSAN