1.6 juta responden terlibat Bancian Pertanian 2024

1.6 juta responden terlibat Bancian Pertanian 2024

MOHD. Uzir Mahidin (tengah) menanam pokok pada Program Penghijauan Malaysia Bersempena Banci Pertanian 2024 di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) Sungkai, Perak. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Sebanyak 1.6 juta responden yang terlibat dalam aktiviti pertanian termasuk petani dan pemain industri akan dilitupi dalam pelaksanaan Banci Pertanian 2024 (BP 2024) pada tahun hadapan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan dapatan terkini melalui sesi libat urus yang dijalankan Jabatan Perangkaan (DOSM) di seluruh negara.

Katanya, sesi libat urus berkenaan melibatkan interaksi bersama 200 agensi di peringkat persekutuan dan lebih 1,000 agensi di peringkat daerah.

“Sesi libat urus yang diadakan ini adalah termasuk menyediakan soal selidik yang dapat menepati keperluan bagi pihak kementerian dan agensi untuk membuat perancangan.

“Alhamdulillah, selepas melaksanakan sesi berkenaan, kita telah mengadakan pengambilan pangkalan data yang ada di agensi-agensi tersebut dan ia sedang diintegrasi.

“Pada peringkat awal ini, kita dapati banyak jurang dan ada data-data yang tidak konsisten berikutan kali terakhir bancian dibuat pada tahun 2005. Jadi, kita akan cuba harmonikan semula data tersebut menerusi pemukiman bancian pertanian di 156 daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penghijauan Malaysia sempena Banci Pertanian 2024 di Dewan Sigma, Institut Latihan Statistik Malaysia di Sungkai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Ismail Parlan.

Pada program itu, sebanyak 350 batang anak pokok ditanam di tapak semaian seluas 0.68 hektar dengan 220 batang anak pokok merupakan sumbangan FRIM manakala selebihnya pula adalah sumbangan warga DOSM.

Antara spesis pokok yang ditanam ialah pokok buah dan pokok hutan termasuk pokok jambu, cermai, beruas, sentul, jering, pelung, gajus, kantan, meranti tembaga dan meranti seraya.

Mengulas lanjut Mohd. Uzir berkata, sesi libat urus yang dijalankan di seluruh negara itu mendapat maklum balas baik daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri di mana rata-ratanya memaklumkan bahawa mereka memerlukan data yang banyak.

Beliau berkata, data-data itu akan digunakan untuk perancangan masa hadapan termasuk penggunaan teknologi, isu-isu modenisasi dalam sektor pertanian dan penyaluran bantuan kewangan.

“Saya sendiri telah berjumpa dengan pengamal-pengamal dalam industri ini iaitu peladang dan petani untuk kita ketahui isu-isu dan kekuatan contohnya penanaman nanas dan sayuran selain pergi melawat kawasan tanaman kekal dan sebagainya.

“Dari situ kita boleh lihat bahawa kita sebenarnya ada tindakan dan pelaksanaan serta polisi yang amat baik, cuma bagaimana ia dapat ditambah baik lagi.

“Apa yang paling penting, kita mahukan kestabilan dalam harga-harga berkaitan pertanian, ini akan menarik lebih ramai pengusaha dalam bidang pertanian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya