Zulkifli serah jam Rolex kepada 'hamba Allah', bida tertinggi RM135,000

Zulkifli serah jam Rolex kepada ‘hamba Allah’, bida tertinggi RM135,000

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri menunjukkan gambar penyerahan jam jenama Rolex kepada pemilik yang berjaya bidaan di KLIA . - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jam tangan mewah jenis Rolex yang dilelong Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri demi membantu rakyat palestin, sudah diserahkan kepada pemilik baru petang tadi.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, beliau bagaimanapun terkejut kerana ‘hamba Allah’ yang membida dengan harga RM135,000 itu adalah individu yang amat dikenalinya iaitu seorang ahli korporat dari Johor.

Menurutnya, individu itu membida pada harga tersebut kira-kira tujuh minit sebelum tempoh bidaan ditutup tepat pukul 12 tengah malam tadi.

“Tujuh minit sebelum ditutup bidaan, seorang hamba Allah telah membeli dengan harga RM135,000. Itu yang muktamad dan terakhir. Pembeli itu tiba di pejabat saya kira-kira pukul 3.15 petang tadi dan dia meminta saya merahsiakan namanya.

“Saya dimaklumkan, dia membeli jam tangan itu atas tiga sebab utama iaitu jam tangan itu anugerah Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud selain ia pernah dipakai oleh saya dan ketiganya adalah demi Palestin.

“Malah, dia (pembeli) bertekad setinggi mana pun bidaan, dia sanggup untuk mendapatkannya. Saya lihat tujuannya penuh dengan keikhlasan dan dia telah menyerahkan kepada saya duit sebanyak itu,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Katanya, beliau akan menyerahkan RM100,000 daripada hasil bidaan jam tangan itu untuk diserahkan kepada Muslim Care di Jordan yang kemudiannya disalurkan kepada rakyat Palestin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara itu.

Zulkifli berkata, beliau akan berlepas ke Abu Dhabi hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Hukama’ al-Muslimin sebelum menyerahkan sendiri sumbangan itu di Jordan.

Katanya, sebahagian RM35,000 lagi hasil bidaan jam akan dibahagikan sama rata kepada enam NGO lain di sini atas tujuannya sama iaitu untuk kebajikan rakyat Palestin.

“Tekad saya, saya tidak akan ambil walau satu sen pun kerana ini adalah amanah dan itu tujuan ketika saya buka bidaan jam itu beberapa hari lalu,” katanya.

Sebelum ini, Zulkifli memutuskan untuk melelong jam tangan mewah itu sebelum hasil jualannya disalurkan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita.

Selepas dua hari dibuka untuk bidaan dan lelongan ditutup tepat pukul 12 tengah malam tadi, bidaan tertinggi direkodkan adalah RM135,000.

Zulkifli memaklumkan jam tangan mewah itu dihadiahkan oleh Raja Arab Saudi selepas menyampaikan ucapan di hadapan baginda ketika kunjungan hormatnya ke Malaysia sekitar 2017.

Lelongan jam tangan itu dibuka pada harga tapak bermula RM40,000 dengan kenaikan RM100. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya