KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu lebih tegas dalam soal kedaulatan dan sempadan wilayah Malaysia daripada dicerobohi mana-mana pihak.
Ahli parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ini kerana pembangunan rizab minyak dan gas di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di laut China Selatan perlu dipelihara bagi menjamin kedaulatan negara.
“Sememangnya Malaysia perlu lebih tegas kerana kita tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan dan sempadan wilayah Malaysia daripada dicerobohi mana-mana pihak.
“Kerajaan perlu lebih tangkas dalam isu ini, namun ia perlu dibuat secara diplomasi tanpa menjejaskan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan China,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, China menghantar beberapa kapal tinjauan ke ZEE Malaysia, salah satu daripadanya adalah Da Yang Hao seberat 4,600 tan telah mengikuti kapal Malaysia pada 2021.
Beberapa bulan sebelum itu juga, beberapa gangguan turut dilakukan oleh kapal China terhadap sebuah kapal gerudi di bawah kontrak dengan Petronas iaitu West Capella.
Dalam pada itu, bekas penyelidik kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Samirul Ariff Othman berkata, langkah terburu-buru untuk membuat penjajaran sama ada dari segi politik mahupun ekonomi akan mengurangkan pilihan dan fleksibiliti pada negara.
“Di tengah-tengah persaingan kuasa besar meskipun semasa Perang Dingin pertama, Malaysia mengambil pendirian berkecuali dan tidak sehaluan di samping membela rakyat Palestin, ia tidak menjadi masalah.
“Tetapi sekarang nampaknya terdapat desakan daripada pelbagai pihak untuk mengasingkan negara kita dari Barat, dan mungkin akan lebih meluas dalam aspek perdagangan. Dalam hal ini, kedaulatan negara boleh terjejas jika hanya terus bergantung dengan negara China sahaja,” ujarnya.
Samirul dalam masa yang sama turut menegaskan kebergantungan Malaysia dengan mana-mana negara secara keterlaluan tidak akan memberi jaminan yang positif dari sudut ekonomi.
Untuk rekod, dalam kenyataan Prestasi Perdagangan Luar Bagi Julai 2023 dan Januari-Julai 2023 menunjukkan bagi tempoh Januari hingga Julai 2023, perdagangan dengan ASEAN merosot 6.1 peratus kepada RM415.82 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.
Menurut kenyataan itu lagi, perdagangan Malaysia dengan China yang merangkumi 17.2 peratus (RM37.13 bilion) daripada jumlah perdagangan pada Julai, turun 8.4 peratus tahun ke tahun.
“Berdagang dengan China secara eksklusif dalam Yuan dan Ringgit akan membuka diri kita kepada kelemahan lain. Seperti yang kita lihat dalam kes embargo minyak sawit India semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri buat kali kedua, Malaysia antara negara perdagangan yang sangat terdedah. Walaupun ia sementara, kesannya jelas.
“Sekiranya terdapat masalah dengan China berhubung Laut China Selatan, dan kita dilanda embargo eksport, bukan sahaja minyak sawit tetapi pelbagai produk lain turut akan terjejas.
“Jika kita tidak berdagang dalam dolar, apakah pilihan kita? Terlalu banyak yang dipertaruhkan dalam membuat keputusan berdasarkan emosi,” jelasnya. – UTUSAN