PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Indep Education Foundation (IEF) menganjurkan Program ‘Be English Speaker Today For A Better Tomorrow’ (Best) sebagai satu usaha memartabatkan bahasa itu sebagai salah satu cabang pendidikan.
Objektif program berkenaan adalah untuk memupuk pelajar untuk menghargai Bahasa Inggeris dan terus memacu mereka meningkatkan kefasihan dan ketepatan bahasa kedua itu serta membangunkan keyakinan pelajar secara formal atau tidak formal.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, usaha itu mampu memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris di dalam kalangan pelajar di Sabah selain kesedaran mengenai fungsi serta meningkatkan keyakinan diri pelajar untuk menggunakannya sebagai antara bahasa mudah digunakan.
“Sokongan padu YBR dalam membantu tahap pendidikan di dalam kalangan anak-anak Sabah dalam menangani jurang pendidikan serta mewujudkan input linguistik sama ada di bandar atau di luar bandar amatlah dihargai.
“Guru-guru berpengalaman turut terlibat dalam program ini bagi memastikan pelajar yang menyertai program ini dapat memperkasa dan menguasai Bahasa Inggeris,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Best yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Moyog, Penampang, Sabah dengan melibatkan 390 murid dan 90 guru sekitar luar bandar negeri itu yang dijalankan di sembilan lokasi ditetapkan.
Majlis juga dihadiri Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengerusi INDEP Education Foundation (IEF); Tan Sri Bernard Dompok, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Dalam majlis sama, Philip Benedict berkata, beliau amat menyokong segala bentuk program pendidikan bagi meningkatkan pengetahuan pelajar-pelajar terutamanya di Sabah melalui pemerkasaan tahap pendidikan.
“Penganjuran Best ini merupakan salah satu langkah alternatif dalam membantu tahap penguasaaan Bahasa Inggeris dikalangan pelajar sekolah serta mewujudkan persekitaran yang kompeten di sekolah.
“Melalui program ini, ia dapat mengembangkan usaha dalam memastikan tahap pengunaan bahasa antarabangsa diberikan kepada semua peringkat terutamanya pelajar sekolah,” katanya.
Selain itu katanya, faktor guru-guru juga memainkan peranan yang penting kerana mereka perlu menyediakan modul pembelajaran dan ini merangsang penggunan bahasa serta kefasihan bertutur dan tahap penguasaan Bahasa Inggeris. – UTUSAN