PETALING JAYA: Kumpulan Yayasan Al Bukhary menyumbang sebanyak RM15 juta kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang ditubuhkan di bawah seliaan Wisma Putra.
Selain itu, AAKRP menerima sumbangan berjumlah RM 373,229.75 daripada Tabung Warga Tenaga Nasional Berhad (TNB) Prihatin.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, kedua-dua sumbangan itu masing-masing disempurnakan Penasihat Khas Kumpulan Yayasan Albukhary, Datuk Seri Abdul Aziz Shahar dan Ketua Pegawai Insan TNB, Wahizan Abd. Rama.
Kata beliau, penyerahan sumbangan itu adalah satu lagi usaha berterusan rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Palestin dalam apa juga cara.
“Jumlah terkumpul terkini oleh AAKRP adalah hampir RM40 juta. AAKRRP ditubuhkan di bawah seliaan Wisma Putra dengan mandat untuk mengumpul, menyelaras dan menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada rakyat Malaysia terus kepada rakyat Palestin.
“Sumbangan yang dibuat melalui AAKRP adalah layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Yayasan Al Bukhary dan Tabung Warga TNB Prihatin serta semua yang menyumbang melalui AAKRP,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam hantaran sama, Zambry mengajak semua untuk bersama mendoakan konflik di Gaza dapat dihentikan segera dengan bantuan kemanusiaan lebih banyak dapat disalurkan dan hak rakyat Palestin terbela. – UTUSAN