Yayasan AEON salur RM50,000 bantu rakyat Palestin

Yayasan AEON salur RM50,000 bantu rakyat Palestin

MOHD. ALI Mohd. Rustam menandatangani plug merasmikan pembukaan semula AEON Melaka, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Yayasan AEON Malaysia menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM50,000 bagi membantu rakyat Palestin susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini.

Setiausaha Agungnya, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi berkata, sumbangan itu akan disalurkan kepada Kementerian Luar Negeri bagi membantu rakyat Palestin yang ketika ini berdepan krisis kemanusiaan.

“Menjadi tanggungjawab yayasan untuk membantu golongan yang memerlukan termasuk rakyat Palestin. Peruntukan untuk membantu rakyat Palestin diluluskan baru-baru ini dan kami masih berbincang untuk menambah dana dalam masa terdekat.

“Bukan sahaja rakyat Palestin dibantu, malah Yayasan AEON Malaysia juga akan terus memperkasakan bantuan kepada golongan yang memerlukan khususnya bagi keluarga B40.

“Setakat ini kita telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta sejak 20 tahun yayasan ini diwujudkan bagi membantu warga Malaysia yang memerlukan bantuan,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Pembukaan Semula Pusat Membeli Belah AEON Melaka, Ayer Keroh di sini, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan turut dihadiri Pengerusi AEON Co. (M) Bhd., Datuk Iskandar Sarudin.

Tambah Kasuma Satria, bagi tahun ini pihaknya telah melengkapkan bantuan berjumlah RM2 juta kepada 60 buah sekolah terpilih di seluruh negara.

Katanya, ia bukan sahaja daripada segi infrastruktur tetapi turut melibatkan penyediaan kelas pintar serta memperkasakan guru-guru dengan teknik pengajaran abad ke-21.

“Kita bawa perunding dan tenaga profesional untuk bekerjasama dengan guru-guru bagi mencapai matlamat melahirkan pelajar bijak. Yayasan juga telah meluluskan 12 sekolah baharu yang akan menyediakan kelas pintar,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, AEON Melaka, Ayer Keroh bakal menjadi antara tarikan utama di negeri terutama sepanjang Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 selepas diberi wajah baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya