Yasin bebas 3 tuduhan dadah, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta

Yasin bebas 3 tuduhan dadah, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta

Yasin
MUHAMMAD Yasin Sulaiman di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi keputusan atas tiga pertuduhan dadah semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman hari ini dilepas dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan dadah selepas Mahkamah Sesyen di sini mendapati dia tidak waras ketika melakukan perbuatan itu, tahun lalu.

Hakim Faiz Dziyauddin bagaimanapun memerintahkan penyanyi itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenan oleh Sultan Selangor seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 348(2) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Mahkamah berpuas hati Muhammad Yasin melakukan ketiga-tiga kesalahan seperti dalam pertuduhan namun dia berada dalam keadaan tidak waras sehingga tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatannya bertentangan dengan undang-undang.

“Namun begitu, gegala-gejala mania (emosi tidak stabil) yang dialami tertuduh pada masa tersebut menyebabkan kemerosotan kognitif pada tahap teruk sehingga tertuduh tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatan tersebut adalah salah. Justeru, menurut Seksyen 348(1) CPC, mahkamah memutuskan tertuduh diletakkan di bawah penjagaan yang selamat di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak untuk tempoh selama mana diperkenankan oleh Sultan Selangor,” katanya.

Muhammad Yasin yang memakai kemeja T berwarna hitam kelihatan memeluk keluarganya selepas mahkamah menangguhkan sidangnya.

Sementara itu, Muhammad Yasin ketika ditemui pihak media meluahkan kesyukuran walaupun tidak menyangka keputusan tersebut memihak kepadanya.

“Saya tidak sangka keputusan hari ini, sebenarnya 50-50. Selepas 20 bulan, turun naik mahkamah. Alhamdulillah ia berakhir dengan baik. Saya tidak akan datang ke sini lagi.

“Saya berterima kasih terhadap semua yang memberikan sokongan rohani dan mendoakan, saya tidak tahu bagaimana untuk membalasnya. Terima kasih juga kepada mereka yang memberi sokongan dari segi kewangan untuk mengisi tabung guaman,” ujarnya.

Pada 17 Oktober lalu, seorang pakar perunding psikitari yang juga satu-satunya saksi pembelaan ketika memberi keterangan mencadangkan Muhammad Yasin menjalani rawatan secara berterusan akibat kecelaruan bipolar (bipolar disorder) yang dialaminya sejak 2009.

Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr. Ian Lloyd Anthony berkata, tertuduh mengalami gejala-gejala bipolar mania termasuk perubahan mood yang melampau, perasaan yang tidak realistik, paranoia dan sikap berhalusinasi untuk tempoh tertentu di antara 2009 dan tahun lalu.

Sehubungan itu, pakar psikitari berkenaan mencapai kesimpulan bahawa tertuduh tidak waras dari segi perubatan dan undang-undang kerana mengalami kecelaruan bipolar dan ‘hyperthyroidism’.

Menurut saksi pembelaan itu, hasil pemerhatian terhadap Muhammad Yasin menunjukkan, pesakitnya berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian seperti yang didakwa dalam pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin, 48, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama. Pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di IPD Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN