Wujudkan jawatan pengerusi hargai peranan Muhyiddin - Utusan Malaysia

Wujudkan jawatan pengerusi hargai peranan Muhyiddin

Pengerusi Bersatu
MUHYIDDIN Yassin mengumumkan tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Bersatu dalam pemilihan parti tahun hadapan ketika berucap dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Keenam 2023, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jawatan Pengerusi Bersatu dicadang untuk kembali diwujudkan untuk melantik Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke kedudukan tersebut selepas beliau mengumumkan tidak lagi menawarkan diri pada pemilihan parti tahun depan.

Jawatan tersebut juga dicadang untuk diwujudkan secara tertib dengan menguatkuasakannya melalui pindaan perlembagaan parti supaya penyandangnya boleh berperanan secara sah.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Muhammad Islahuddin Abas berkata, jawatan tersebut tidak wujud dalam perlembagaan dan disebabkan itu juga Bersatu tidak mempunyai pengerusi selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilantik sebelum ini.

“Tan Sri (Muhyiddin) seorang yang berjiwa besar, memang dari dahulu sanggup tinggalkan UMNO untuk Bersatu yang beramanah dan bermaruah itulah yang diterima rakyat. Tan Sri pula seorang yang hebat kerana berjaya melahirkan ramai pelapis, di atas pentas pun ramai pelapis yang ada bersama-sama dengan PN.

“Justeru, kami mencadangkan sekiranya Tan Sri masih dengan pendirian untuk meninggalkan jawatan presiden, kami cadangkan untuk wujudkan kembali jawatan pengerusi,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Keenam 2023, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga pengasas Bersatu dan bekas Perdana Menteri Ke-8 dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan itu mengumumkan tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti dalam pemilihannya tahun depan.

Keputusan itu dibuat beliau selepas berada lebih 50 tahun dalam politik dan mahu memberi laluan kepada pimpinan pelapis untuk mewarisi kepemimpinannya.

Dalam pada itu Islahuddin yang juga Ahli Parlimen Mersing memberitahu pada perbahasannya dalam perhimpunan berkenaan mencadangkan supaya pendidikan percuma diperjuangkan serta penilaian semula pendidikan akhlak dalam kalangan pelajar.

“Kerana kita tahu macam mana keciciran, saya Islahuddin dari Mersing lihat bagaimana anak-anak luar bandar, mereka keciciran bukan setakat masuk universiti selepas SPM malah sebelum SPM pun ramai yang berhenti kerana tidak cukup dana untuk sambung belajar.

“Sekiranya kerajaan dapat memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak B40, saya yakin ramai sebenarnya yang hendak sambung belajar di peringkat lebih tinggi sama ada universiti atau bidang teknikal, perkara ini kerajaan boleh buat, saya rasa sangat baik khasnya untuk B40.

“Kita perlu melihat balik bagaimana pendidikan akhlak-akhlak pelajar-pelajar, baru-baru ini pun tular di sekolah berasrama penuh yang berprestij, berlaku kes buli.

“Akan datang nanti mungkin berlaku masalah dari segi moral kerana pelajar tiada sentuhan oleh individu dan guru, jadi sekarang pun sudah makin kurang sentuhan itu, jadi kita perlu lihat balik bagaimana kerajaan perlu merangka supaya anak bangsa kita disentuh balik emosi mereka supaya akhlak dapat dibentuk di peringkat sekolah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya