PASIR SALAK: Anak kepada pemilik asal sebuah rumah usang di Kompleks Sejarah Pasir Salak di sini yang disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini setuju jika rumah peninggalan orang tuanya itu dirobohkan atas faktor keselamatan penduduk kampung dan pengunjung kompleks tersebut.
Ridzuan Mohamad, anak kepada pemilik asal rumah tersebut berkata, rumah tersebut adalah rumah ibu dan bapanya dan sebelum ini dia dan adik beradiknya tinggal di rumah itu.
Katanya, rumah itu ditinggalkan dan terbiar selepas ia disenaraikan oleh kerajaan negeri semasa Menteri Besar, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang mahu menjadikannya sebahagian daripada program rumah inap desa kompleks sejarah itu.
Katanya, mereka diberi tapak untuk membina rumah baharu yang terletak tidak jauh dari kompleks tersebut dan berpindah ke rumah baharu pada tahun 2000.
“Sejak itu rumah lama ini kosong. Masa itu kompleks sejarah ini di bawah Yayasan Perak tapi kemudian bertukar di bawah Kurator Muzium dan saya tidak tahu apa jadi dengan perancangan untuk menjadikan rumah ini sebagai homestay.
“Rumah ini bukan hak kami lagi, rumah ini sudah jadi milik kompleks ini tapi tanahnya tidak dibicara kuasa sebagai hak milik kerana warisnya sudah meninggal dunia. Kalau nak selesaikan hak milik, saya tak tahu macam mana nak selesaikan.
“Saya sudah berbincang dengan ahli keluarga dan mereka setuju jika rumah ini diroboh atas faktor keselamatan penduduk kampung,” katanya.
Ridzuan berkata, rumah itu bukan istana lama seperti yang dikatakan netizen dalam media sosial kerana seni bina rumah itu, selepas laporan mengenai rumah itu disiarkan dalam akhbar ini kelmarin.
Katanya, rumah itu adalah rumah kampung biasa milik ibu bapanya dan kedua-duanya sudah meninggal dunia. – UTUSAN