Warga Australia kencing merata, didenda RM100 - Utusan Malaysia

Warga Australia kencing merata, didenda RM100

Warga Australia kencing
CHIH Peter yang membuang air kecil pada tembok dekat tempat letak kereta sebuah pusat beli belah pada minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang warga Australia yang membuang air kecil pada tembok dekat tempat letak kereta sebuah pusat beli belah di Subang Jaya pada 16 November lalu didenda RM100 di Mahkamah Majistret, di sini hari ini akibat berkelakuan tidak senonoh.

Tertuduh Chih Peter mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Berdasarkan pertuduhan, Chih, 32, didakwa berkelakuan kurang sopan dekat tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan. Kesalahan tersebut dilakukan dekat tempat letak kereta USJ 19 City Mall kira-kira pukul 10.51 malam.

Justeru, tertuduh yang tiba dari Australia pada 13 November lalu itu dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100.

Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum apabila tertuduh dikatakan tidak beradab ketika berada di negara ini.

Peguam, R. Morhaneraj yang mewakili tertuduh kemudian dalam mitigasinya memberitahu ketika kejadian Chih yang bekerja sebagai jurulelektrik tidak dapat menahan untuk pergi ke tandas ketika berada di tempat letak kereta.

“Bagaimanapun, anak guam tidak menyedari kejadian tersebut dirakam. Tertuduh adalah warga Australia yang datang ke negara ini untuk menziarahi saudaranya. Ketika kejadian dia baru selesai makan malam di pusat beli belah tersebut,” katanya.

Majistret kemudian menetapkan denda RM100 terhadap tertuduh dan penjara selama sehari jika gagal membayarnya. Tertuduh membayar denda tersebut.

Sebelum itu, dia yang mengenakan baju ‘T’ berwarna hitam dan berambut tocang tiba pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira pukul 9 pagi.

Terdahulu, tindakan Chih membuang air kecil di tempat awam itu tular dalam media sosial sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak, malah tindakan perakam yang dilihat menegur perbuatan tidak senonoh itu juga tidak diendahkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN