SHAH ALAM: Seorang warga Australia yang membuang air kecil pada tembok di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, dekat sini pada 16 November lalu didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam kerana berkelakuan tidak senonoh.
Tertuduh, Chih Peter, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa berkelakuan kurang sopan di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan. Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat letak kereta USJ 19 City Mall, kira-kira pukul 10.51 malam.
Justeru, dia yang tiba dari Australia pada 13 November lalu dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100.
Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum kerana tertuduh dikatakan tidak beradab ketika berada di negara ini.
Peguam, R. Morhaneraj yang mewakili tertuduh kemudian dalam mitigasinya memberitahu ketika kejadian Chih yang bekerja sebagai jurulelektrik tidak dapat menahan untuk ke tandas ketika berada di tempat letak kereta.
“Bagaimanapun, anak guam tidak menyedari kejadian tersebut dirakam. Tertuduh adalah warga Australia yang datang ke negara ini untuk menziarahi saudaranya. Ketika kejadian dia baru selesai makan malam di pusat beli-belah tersebut,” katanya.
Majistret menetapkan denda RM100 terhadap tertuduh dan penjara selama sehari jika gagal membayarnya. Tertuduh membayar denda tersebut.
Terdahulu, tindakan tertuduh membuang air kecil di tempat awam itu tular dalam media sosial sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak, malah tindakan perakam yang dilihat menegur perbuatan tidak senonoh itu juga tidak diendahkan. – UTUSAN