Wanita maut, treler dipandu suami terlibat kemalangan - Utusan Malaysia

Wanita maut, treler dipandu suami terlibat kemalangan

KEADAAN treler yang terlibat kemalangan di Kilometer 200.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat Taiping hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Seorang wanita maut selepas treler membawa kelapa sawit yang dipandu suaminya terlibat kemalangan di Kilometer 200.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat Taiping hari ini.

Kemalangan pada pukul 11.33 pagi itu mengorbankan Siti Roshasnizan Idris, 41, manakala suaminya, Abdul Rahman Abdul Razak, 45, dan anak perempuan pasangan itu, Nur Elesya Elena, 15, tidak mengalami kecederaan.

Kemalangan berlaku seleps treler dinaiki mangsa melanggar bahagian belakang sebuah bas persiaran dua tingkat. Kemalangan turut melibatkan tiga buah lori lain dan sebuah lori tangki.

Sementara itu, anak kepada mangsa, Nur Elesya Elena berkata, kemalangan berlaku ketika mereka bertiga dalam perjalanan untuk menghantar buah kelapa sawit dari Bukit Bersatu, Kamunting ke Temerlok, di Trong.

Katanya, ketika kemalangan, dia duduk di bahagian tengah di antara ibu dan bapanya.

“Ketika treler abah melanggar bas ekspres, ibu berada dalam keadaan tersepit dan tingkap bahagian penumpang tidak boleh dibuka.

“Saya cuba membantu ibu yang meminta tolong, ibu berada dalam keadaan sangat sakit, tapi saya tidak punya kekuatan untuk mengeluarkan ibu yang tersepit,” katanya ketika ditemui di Hospital Parit Buntar.

Menurutnya, dia reda dengan pemergian ibu dan akan sentiasa ingat dan patuh pesan ibunya.

Katanya, sebelum kemalangan, ketika dia sedang makan di dalam lori, ibunya memanggilnya untuk bergambar ketika bapanya sedang memuatkan buah sawit dalam lori.

“Ketika itu ibu berpesan supaya saya menjaga abah sekiranya ibu telah tiada dan tidak sesekali lawan cakap abah dan kakak. Saya tidak sangka pesanan itu petanda ibu akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Katanya, dia juga agak pelik kerana sejak kebelakangan ini ibunya itu sering bercakap fasal mati.

“Apabila ibu bercakap soal kematian, saya tanya balik kerana ibu cakap begitu.

“Ibu cuma kata setiap orang akan mati. Paling saya ingat ibu kata mungkin dia tak sempat untuk melihat saya membesar dan mencapai cita-cita menjadi polis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya