KAJIAN Bone Health Alliance Malaysia (BHAM) mendedahkan satu daripada tiga wanita menopaus akan mengalami tulang patah akibat osteoporosis.
Ia berlaku berikutan hormon wanita menopaus semakin berkurangan dan situasi berkenaan meningkatkan lagi risiko mengalami kerapuhan tulang.
Presiden Persatuan Osteoporosis Malaysia (MOS), Dr. Yeap Swan Sim berkata, kehilangan jisim tulang berlaku secara senyap dan berterusan yang lazimnya pesakit tidak mengalami sebarang simptom sehinggalah tulang patah berlaku buat kali pertama.
“Bila tulang makin rapuh dan lemah, risiko patah menjadi lebih tinggi,” katanya pada forum anjuran BHAM sempena Hari Osteoporosis Sedunia, baru-baru ini.
Forum itu turut dihadiri Presiden Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur dan Selangor (OASKLS), Choo Yem Kuen, wakil Rangkaian Fraktur Kerapuhan Malaysia (FFNM), Dr. Tan Kit Mun dan Cef Selebriti, Sherson Lian.
Osteoporosis, sejenis penyakit senyap, secara literalnya bermaksud ‘tulang poros’ yang berlaku apabila kepadatan dan kekuatan tulang berkurangan.
Kerapuhan tulang paling biasa dikaitkan dengan osteoporosis berlaku pada pinggul, tulang belakang dan pergelangan tangan.
Ia banyak berlaku dalam kalangan wanita berusia 50 tahun ke atas. Apatah lagi dengan kadar penduduk berusia melebihi 50 tahun dijangka meningkat sebanyak 163 peratus, iaitu dari 5.3 juta pada 2010 ke 13.9 juta menjelang 2050.
Peningkatan populasi penuaan, sekaligus meningkatkan risiko osteoporosis dalam kalangan warganya khususnya wanita.
Menangani osteoporosis, Dr. Yeap menyarankan wanita melakukan saringan kesihatan tulang, pada peringkat pasca menopaus lagi.
“Penjagaan kesihatan tulang perlu bermula sejak awal tanpa mengira peringkat umur. Langkah itu penting demi menyokong permulaan saringan kesihatan tulang. Perbincangan berterusan antara pesakit dan doktor boleh membangkitkan kesedaran mengenai isu berkenaan,” katanya.
Sementara itu, bagi lelaki, mereka perlu menjalani ujian saringan ketika mencecah usia antara 60 hingga 70 tahun termasuk individu dengan faktor risiko klinikal.
Faktor genetik turut mempengaruhi risiko osteoporosis yang mana ia boleh diwarisi dari generasi sebelumnya.
Sekiranya ibu atau nenek anda menghidap osteoporosis, anak perempuan turut berisiko dan mereka seharusnya perlu lebih proaktif menjalani ujian saringan.
Faktor lain meningkatkan risiko kerapuhan tulang, ialah pengambilan ubat-ubatan seperti steroid.
Dr. Yeap turut mahu mengubah persepsi ramai orang yang beranggapan insiden jatuh di bilik air sebagai perkara biasa, sedangkan ia boleh menjadi petanda menghidap masalah tersebut.
AMAL GAYA HIDUP SIHAT
Bagi mencegah osteoporosis individu perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dengan kerap, mengamalkan diet seimbang, mengelakkan pengambilan alkohol, mengambil kalsium dan vitamin D mencukupi serta rawatan anti-osteoporosis.
BHAM giat mengingatkan usaha kesedaran kesihatan tulang selepas mengambil kira ancaman yang semakin membimbangkan.
Lebih-lebih lagi satu kaji selidik yang dilakukan oleh pihaknya pada 2021 mendapati 96 peratus responden tidak menyedari faktor risiko osteoporosis.
Penyakit itu dijangka menyebabkan peningkatan sebanyak 3.5 kali ganda dalam kes kerapuhan tulang antara tahun 2018 hingga 2050 di negara ini.
Peningkatan drastik yang merupakan tertinggi di Asia ini bermaksud akan menyebabkan bebanan kos dalam perkhidmatan kesihatan melebihi (RM530 juta) pada 2050.
MENU SIHAT
Forum tersebut dimeriahkan dengan demonstrasi masakan oleh Sherson Lian.
“Kesemua ramuan ini mengandungi nutrien penting diperlukan untuk mengekalkan tulang yang kuat. Ia mempamerkan pendekatan inovatif dalam menggabungkan rasa dan tekstur sambil mematuhi prinsip-prinsip diet yang baik untuk kesihatan tulang.
“Makanan yang enak bukan hanya tentang rasa. Ia mengenai menyuburkan asas kehidupan kita. Berganding bahu dengan BHAM, resipi ini bukan sahaja menyelerakan, tetapi juga menguatkan tulang kita,” katanya.