PUTRAJAYA: Wanita Keadilan mahu lebih banyak tempat diberikan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang.
Ketua Wanita Keadilan Pusat, Fadhlina Sidek berkata, suara wanita perlu lebih ramai sekali gus membantu menentukan dasar lebih baik dalam melindungi golongan itu selain kanak-kanak dan warga emas.
Beliau berkata, laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF 2023) dalam kalangan negara ASEAN mendedahkan, Malaysia di tangga tercorot membabitkan penguasaan wanita dalam politik.
“Sebelum ini, hanya 12 peratus calon wanita dipertaruhkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 jauh daripada sasaran 30 peratus yang ditetapkan.
“Banyak faktor yang menyebabkan kekurangan perwakilan wanita di Parlimen dan DUN termasuk ekosistem politik dan parti politik itu sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres Wanita Keadilan, di sini hari ini.
Fadhlina juga menegaskan bahawa perwakilan jantina yang adil dan saksama boleh menyelesaikan pelbagai isu membabitkan keganasan rumah tangga, gangguan seksual, kesihatan mental, penuaan bermaruah dan kesihatan keluarga.
Dalam pada itu, beliau turut kesal dengan beberapa ahli Parlimen yang tidak menggunakan platform Dewan Rakyat sebaiknya, sebaliknya disempitkan dengan naratif berbaur seksis.
“Ia disempitkan dengan naratif, seperti berapa orang bini dan saya masih kosong tiga. Tumpul perbahasan kerana sudah ketandusan isu kerajaan hendak dimainkan. Nak persoal masalah korupsi dan tatakelola? Tiada.
“Atas sebab itu, penting untuk Wanita PKR terus konsisten dalam memperjuangkan hak wanita dalam isu keganasan rumah tangga, perlindungan kanak-kanak, kewarganegaraan anak yang ibunya adalah warganegara Malaysia,” katanya. – UTUSAN