KLUANG: Seorang wanita diugut kerana dikatakan menyebarkan video goyang gerudi sehingga tular dan menyebabkan Karnival Makanan Johor di Dataran Industri Kecil dan Sederhana di Simpang Renggam hujung bulan Oktober baru-baru ini dihentikan.
Berikutan pembatalan serta-merta oleh Majlis Daerah Simpang Renggam kerana melanggar syarat permit penganjuran, pihak penganjur dan peniaga mengalami kerugian ribuan ringgit kerana tidak dapat meneruskan acara seperti tarikh ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pada 26 Oktober lalu, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan yang diugut oleh seorang lelaki tidak dikenali melalui panggilan telefon.
Katanya, berikutan daripada laporan itu, pada 1 November baru-baru ini, kira-kira pukul 2.15 petang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Segamat berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun di Jalan Buluh Kasap di Segamat.
“Suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah namun, hasil ujian saringan air kencing mendapati negatif.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ujarnya, bacaan pertuduhan di Mahkamah Majistret Kluang akan dilakukan esok (6 November) selepas ditahan reman empat hari bermula tarikh ditahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diharap tampil untuk membantu siasatan,” katanya.
Pada 27 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan Karnival Makanan Johor di Dataran IKS di Simpang Renggam terpaksa dihentikan oleh MDSR selepas tular sekumpulan wanita dan lelaki melakukan aksi goyang gerudi ketika persembahan pentas sebuah band tempatan mengadakan persembahan di karnival itu.-UTUSAN