ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan tindakan Ahli Parlimen gabungan itu menyokong kerajaan sebagai satu usaha untuk melemahkan PN.
Beliau berkata, perangkap berkaitan peruntukan telah menjerut wakil rakyat PN untuk memberi sokongan terhadap kerajaan.
“Isu dibangkitkan adalah ketiadaan peruntukan untuk berkhidmat, itu sahaja. Itu cara mereka jerut Ahli Parlimen daripada pembangkang untuk menyatakan sokongan.
“Menjerut supaya mengalah, adalah dua tiga orang mengalah dengan strategi itu. Wakil rakyat Pas, kita tapis. Tak ada dengar khabar itu (beralih sokongan). Saya serah kepada ketahanan jiwa masing-masing dan kalau ada bersikap macam itu penggal depan tak ada nama,” katanya selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Sanusi tidak menafikan akan ada lagi usaha daripada pihak tertentu untuk terus memancing wakil rakyat PN melalui orang tengah yang dikenali sebagai ‘broker politik’.
“Akan ada cubaan, dugaan dan cabaran ‘dicekik’. Kena jadi Rambo (kerana) ada sepanjang hayat broker ini, saya biasa hadapi dan berjaya lepas tanpa dibayar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yakin tiada dalam kalangan wakil rakyat PN di Kedah yang akan berpaling tadah sehingga bertindak membelakangkan gabungan tersebut.
Menurutnya, semua wakil rakyat daripada gabungan itu khususnya Pas dilatih dengan tahap kesabaran tinggi untuk kekal setia kepada parti.
“Saya bersama Pas dilatih untuk tahan, mengukuhkan keimanan. Bila jadi wakil rakyat tahap kesabaran dan mental kena kuat tak boleh ada kepentingan diri. Nak pilih calon, wakil rakyat kena tapis betul-betul. Ada tekanan di hadapan, nak bocor ka tak bocor, nak paling tadah ka tidak (kerana) pilihan raya adalah peperangan,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim adalah wakil rakyat ketiga dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohd. Azizi memberitahu, tindakan itu bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di kawasan itu terjamin dan terus mendapat pelbagai manfaat daripada Kerajaan Persekutuan. –UTUSAN