PUTRAJAYA: Seorang wakil dari Sabah, Antakor Rasam mencetuskan gelak ketawa para perwakilan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini mengenai imej negeri itu.
Beliau ketika membahaskan ucapan dasar Presidennya turut mendedahkan ia juga antara punca rakyat Sabah dan Sarawak sering mengungkitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Bayangkan kami memandu kereta di pedalaman, habis tayar rosak dan cermin penuh debu sebab jalan raya kami ‘cantik’ macam bulan, kereta api pun seperti itu dari dulu,” katanya.
Dalam nada sindiran, beliau mendedahkan kenapa sehingga lebih 60 tahun penubuhan Malaysia, penduduk Sabah dan Sarawak masih tercari-cari apakah erti nikmat kemerdekaan.
Malahan ujarnya, memberikan contoh Sabah yang diibaratkan jutawan fakir kerana hanya kaya dengan sumber alam semula jadi tetapi kadar kemiskinan paling tinggi di negara ini.
Justeru, Antakor menyarankan kerajaan memasukkan isi kandungan perjanjian itu dalam sukatan pendidikan di sekolah agar rakyat lebih memahami asas pembentukan negara ini.
“Maklumat kurikulum sebegini boleh dianggap sebagai ‘suis’ supaya tiada lagi perasaan curiga antara kita kerana selama ini disimpan ketat seolah-olah perlu dirahsiakan,” jelasnya. – UTUSAN