Wahab didenda RM5,000 kemuka borang banjir butir matan palsu - Utusan Malaysia

Wahab didenda RM5,000 kemuka borang banjir butir matan palsu

ABDUL  Wahab Idris (tengah) yang mengaku salah mengemukakan borang bantuan banjir mengandungi butir matan palsu dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini mendenda seorang lelaki warga emas RM5,000 selepas dia mengaku bersalah mengemukakan borang bantuan banjir mengandungi butir matan palsu, tahun lalu.

Hakim Mohd. Azhar Othman membacakan keputusan itu terhadap Abdul Wahab Idris, 64, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan kampung (JPPK) sebuah kampung di daerah Dungun.

Mahkamah turut mengarahkan Abdul Wahab dipenjarakan sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menipu pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan memperakui dan menandatangani borang pengesahan daftar nama.

Senarai nama itu berkait bantuan bencana banjir dengan tertuduh menyenaraikan nama anak kandungnya bagi mendapatkan bantuan wang ihsan (BWI) meskipun tidak layak menerima bantuan itu.

Kesalahan itu dibuat pada April 2022 di daerah Dungun dan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun yang sama

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh melalui peguam bela, Nurul Najmi Adila Md. Nasir, dalam rayuannya memohon hukuman ringan berbentuk denda dengan alasan masalah kesihatan selain pengakuan awal bersalah.

Hakim Mohd. Azhar kemudian dalam penghakimannya berkata, hukuman setimpal wajar dikenakan ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat amnya.

“Jika kesalahan ini tidak dibendung, dibimbangi ia akan berkembang sehingga merugikan kerajaan dan mahkamah berdoa agar hukuman ini menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar manakala tertuduh diwakili Nurul Najmi Adila. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya