Video tular tiada kaitan kes culik kanak-kanak

Video tular tiada kaitan kes culik kanak-kanak

TANGKAP layar video rakaman sebuah kereta yang dikaitan kes penculikan kanak-kanak di sekitar daerah Sepang sejak minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis menafikan satu rakaman video tular yang didakwa berkait dengan kes culik di sekitar daerah ini sejak seminggu lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, video itu yang memaparkan dua individu sedang menaiki sebuah kereta yang didakwa terlibat dalam kes culik itu adalah tidak benar sama sekali.

Beliau berkata, siasatan mendapati, nombor pendaftaran kereta terbabit didapati terlibat dengan kes melarikan diri selepas melalui pemeriksaan polis pada 31 Oktober lalu.

“Ketika kejadian, kereta itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di hadapan kedai dobi di Sepang Putra, Sungai Pelek, di sini sebelum pihak polis dihubungi berkaitan perkara itu.

“Kedua-dua suspek adalah lelaki warga asing. Ketika ditahan, suspek bertindak melanggar motosikal milik anggota polis sebelum bertindak melarikan diri,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Katanya, kedua-dua suspek akhirnya berjaya diberkas pada hari yang sama di hadapan sebuah hotel di Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.

Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna kelabu dan sebuah kereta jenis Honda CRV berwarna merah.

“Kedua-dua suspek turut didapati tiada dokumen perjalanan yang sah selain ujian saringan dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis metaphatamine,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman sehingga 4 November lalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan direman mengikut Akta Imigresen 1959/1963 selama 14 hari sehingga 18 November ini.

Sebelum ini, tular satu rakaman video beserta audio oleh seorang lelaki yang memaklumkan kereta itu terbabit dalam kes penculikan kanak-kanak di sekitar Sepang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN