PUTRAJAYA: Seorang wanita yang juga seorang ustazah dilaporkan hilang sejak pagi semalam selepas dihantar oleh suaminya ke tempat kerja di Presint 18, di sini.
Difahamkan, wanita dikenali sebagai Ustazah Hanisah itu disahkan hilang oleh suaminya sejak pukul 11.30 pagi semalam.
Menerusi pesanan aplikasi Whatsapp dikongsi suami mangsa, isterinya itu mempunyai gejala kemurungan dan tidak mengambil ubat selama beberapa hari.
“Jika sesiapa ada ternampak isteri saya di dalam gambar ini sila contact saya. Jika terjumpa sila Whatsapp ke 010-4424279,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya kini sedang mengesan mangsa.
“Suami mangsa sudah membuat satu laporan polis kira-kira 12.11 tengah hari tadi,” katanya. – UTUSAN