Usah panik cadangan projek jambatan darat Thailand

Usah panik cadangan projek jambatan darat Thailand

ANTHONY Loke selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan cadangan Thailand mahu menimbangkan semula projek jambatan darat dibangunkan di selatan negara tersebut.

Sebaliknya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek yang ingin dilaksanakan itu sebenarnya sudah dalam pembinaan di Semenanjung Malaysia sendiri.

“Jangan panik saya tahu ramai bimbang malah projek jambatan darat itu malah telah ada di negara kita dan dikenali Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan di sini hari ini.

Perdana Menteri Thailand, Settha Thavisin ketika sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco minggu lalu membangkitkan semula idea projek itu melibatkan kos RM131 bilion menerusi pembinaan pelabuhan baharu Ranong di barat dan Chumphon di timur yang akan dihubungkan melalui landasan kereta api atau jalan.

Projek laluan sejauh 90 kilometer itu dijangka memendekkan perjalanan menerusi laut selama empat hari dan kos dijimatkan 15 peratus antara Teluk Siam dan Laut Andaman.

Projek mega itu sudah lama tergendala sejak dicetuskan Raja Narai pada 1677 lalu dan apabila siap kelak, ia bakal mengurangkan kesesakan trafik ribuan kapal di Selat Melaka.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, ramai tidak sedar bahawa ECRL yang akan siap akhir 2026 ialah jambatan darat dengan kos pembinaan lebih murah berbanding di Thailand.

“Ia bahkan direka untuk mengangkut kargo dari pelabuhan utama di Pantai Timur terus ke Pelabuhan Klang menerusi rel sepanjang 666 kilometer melibatkan 20 stesen,” katanya.

Justeru, beliau optimis, operator pelabuhan di negara ini sudah bersedia dengan segala kemungkinan ada untuk memastikan mereka masih lagi tetap mampu bersaing lebih baik.

Apa yang lebih penting ujarnya, semua pelabuhan di Semenanjung Malaysia perlu lebih produktif dan kompetitif untuk menarik kapal kontena utama dari seluruh dunia singgah.

Pada masa sama, beliau berkata, semua negara berhak melaksanakan sebarang projek yang berpotensi di tempat mereka dan Malaysia tidak perlu berasa cemas dengan isu itu.

Dianggarkan lebih 50,000 buah kapal menggunakan perairan Selat Melaka setiap tahun dan ia menjadi antara trafik laluan laut paling sibuk di dunia dengan jarak 930 kilometer. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya