ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) amat menitikberatkan inisiatif dalam memantapkan kepimpinan dan pembangunan bakat pelajar.
Baginda yang juga Canselor Unimap bertitah, pembangunan bakat merupakan elemen penting menjadikan sesebuah universiti dan negara berpendapatan tinggi.
Titah baginda, sistem pendidikan tinggi negara juga perlu mempunyai keupayaan menghasilkan modal insan berkualiti serta berkemahiran tinggi, bagi memenuhi kehendak industri.
“Mahasiswa merupakan tunjang utama dan merupakan kelompok terbesar yang menjadi sebahagian daripada warga universiti serta merupakan pemegang taruh yang paling besar, bahkan menjadi penanda aras kepada pencapaian sesebuah universiti.
“Para pelajar perlu didedahkan dengan lebih dekat bersama pemain-pemain industri besar yang akhirnya memastikan pelajar boleh diterima bekerja di industri dengan memperoleh gaji premium atau upah yang setimpal.
“Unimap juga sedang memfokuskan untuk membangunkan bakat-bakat terbaik dalam kalangan pelajar supaya tercipta warga yang egalitarian, berilmu dan berbudaya tinggi,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan sidang kelima Istiadat Konvokesyen Unimap Ke-18 di Dewan Ilmu Unimap, Kampus Alam Pauh Putra di sini semalam.
Baginda bertitah, pembangunan bakat yang berkesan memerlukan usaha yang berterusan dan mesti mempunyai kerangka besar agar setiap institut pengajian tinggi (IPT) mempunyai pelan bakat mahasiswa.
“Ia penting penting agar seiring dengan saranan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan mahasiswa yang holistik merangkumi aspek moral, etika, dan kemanusiaan,” titah baginda.
Sementara itu Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, kejayaan siswazah di universiti sebenarnya bukan diukur pada kejayaan akademik semata-mata.
Katanya, kejayaan itu juga diukur melalui pemantapan nilai dalam membentuk sahsiah diri.
“Unimap sendiri mementingkan aspek nilai. Walaupun para siswazah telah berjaya mengharungi proses pengajaran dan pembelajaran di Unimap, namun saya kira nilai teras Unimap iaitu ilmu, keikhlasan, kecemerlangan wajar dijadikan panduan dan pegangan dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya. – UTUSAN