Unimap rai 3,555 graduan, 70 peratus sudah dapat pekerjaan - Utusan Malaysia

Unimap rai 3,555 graduan, 70 peratus sudah dapat pekerjaan

ZALIMAN Sauli (depan, enam dari kiri) bergambar bersama penerima Hadiah Pelajaran Unimap yang hadir sempena Konvokesyen Ke-18 Unimap di Kampus Alam Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seramai 3,555 graduan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) akan diraikan pada Istiadat Konvokesyen Ke-18 yang bermula hari ini hingga 21 November.

Ia melibatkan 67 graduan ijazah doktor falsafah (PhD); ijazah sarjana (121); ijazah sarjana muda (2,657); diploma (551) selain 159 graduan Pengajian Pembangunan Profesional dan Pembelajaran Berterusan (PDCE).

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, istiadat konvokesyen akan berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam, Unimap, Pauh Putra di sini menerusi lapan sidang.

Katanya, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap berkenan berangkat menyempurnakan istiadat konvokesyen kali ini bagi sidang 1, 3, 5 dan 7.

“Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor Unimap turut berkenan berangkat sama menyempurnakan istiadat konvokesyen bagi sidang 2, 4, 6 dan 8,” katanya.

Zaliman berkata, pada istiadat kali ini, Unimap akan meng­anugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Prof. Dr. Kazuhiro Nogita dari Universiti Queensland, Austra­lia atas sumbangan besar beliau kepada institusi tersebut sejak 10 tahun lalu.

Selain itu beliau berkata, Unimap juga akan menganuge­rahkan Ijazah Kehormat Sarjana Pengurusan kepada Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn. Bhd., Zaki Abdul Aziz Daud yang banyak memberi kerjasama khususnya bagi melihat ke­perluan alam sekitar dan kemapanan di kampus.

“Terdapat juga beberapa peng­anugerahan lain akan di­sampaikan iaitu Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor dan beberapa lagi,” katanya.

Dalam pada itu Zaliman berkata, graduan Unimap turut merekodkan kebolehpasaran yang tinggi dengan 70 peratus daripada mereka mendapat tempat pekerjaan dalam tempoh dua minggu sebelum majlis konvokesyen.

Katanya, dalam tempoh enam bulan selepas majlis konvokesyen pula, lebih 95 peratus graduan institusi itu mendapat tawaran dan peluang pekerjaan berdasarkan rekod Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG).

“Unimap merupakan sebuah universiti teknikal yang memperkasa agenda pendidikan di negara ini di mana 70 peratus daripada program kita adalah berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasio­nal (TVET) yang tinggi untuk pengajian diploma serta ijazah.

“Kita juga banyak bekerjasama dengan pihak industri dan berikutan itu, mereka telah memberikan kepercayaan kepada graduan Unimap sekali gus dapat membuka peluang pekerjaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya