PETALING JAYA: Pas ‘mengingatkan’ UMNO supaya tidak berbelanja besar bagi memenangi kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 2 Disember ini.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jentera UMNO diharap berpijak di atas realiti bahawa mereka mustahil untuk merampas kerusi parlimen berkenaan.
“Jika ada kemungkinan UMNO boleh menang di Kemaman, nescaya calonnya tentulah Datuk Seri Ahmad Said atau paling tidak Datuk Seri Ahmad Shabery Chik.
“Tetapi kerana mustahil untuk menang, diletakkan orang baharu yang kalau kalah besar sekalipun, tidaklah malu sangat.
“Jadi, atas sebab realiti.. ‘dana-dana’ yang turun itu simpan sahajalah, tak payahlah belanja semua. Itu lebih baik daripada dihabiskan untuk misi mustahil ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam hantaran sama, Ahmad Fadhli menyatakan komitmen untuk mengusahakan kemenangan besar buat Pas dan Perikatan Nasional (PN).
PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November dan 2 Disember masing-masing bagi pengundian awal dan hari mengundi. – UTUSAN