Umar terlepas peluang perbaiki rekod

Umar terlepas peluang perbaiki rekod

UMAR Osman hanya menjadi penonton Kejohanan Varsiti Padang dan Trek Grand Final 2023, semalam selepas dinasihatkan berehat bagi mengelakkan kecederaannya bertambah parah. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh pecut 400 meter (m) negara, Umar Osman terlepas merebut pingat emas Kejohanan Varsiti Padang dan Trek Grand Final 2023 (VTF) kerana dinasihatkan perlu berehat bagi mengelakkan kecederaannya bertambah parah.

Umar, 20, berkata dia mengalami kecederaan pangkal paha sebelum Sukan Asia Hangzhou lagi, namun tetap meneruskan misi untuk berlari dalam kejohanan ini tanpa pengetahuan jurulatihnya.

Bagaimanapun, selepas pusingan separuh akhir, kelmarin, dia dinasihatkan untuk tidak meneruskan larian dan menjalani proses rawatan dan pemulihan yang dijangka mengambil masa lebih kurang lapan minggu.

“Kalau saya tambah suntikan PRP, mungkin enam ke lapan minggu (akan sembuh). Saya buat proses rawatan itu pun sekejap sekejap, sebab saya tidak selalu dapat hadir ke Institut Sukan Negara (ISN), jadi saya hanya buat rawatan sendiri.

“Jika saya teruskan larian, mungkin kecederaan itu akan makin teruk, mungkin koyak yang kecil berubah menjadi lebih besar, ataupun sebaliknya, saya pun tidak tahu.

“Kecewa itu semestinya ada, sebab saya dah datang ke sini. Sepatutnya saya memang tidak perlu berada di sini, saya anggap ini kesilapan sendiri. Saya dah tahu ada kecederaan tetapi tetap nak berlari.

“Untuk ‘comeback’ dalam kejohanan seterusnya saya tak tahu lagi, sebab jurulatih memang nak saya fokus untuk buat pemulihan agar dapat pulih sepenuhnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Umar menjelaskan dia masih belum mendapat tarikh spesifik bagi menjalani ujian kelayakan untuk ke Universiti Auburn di Amerika Syarikat, namun segala penilaian tersebut hanya akan berjalan secara atas talian.

Terdapat beberapa ujian yang akan dijalaninya seperti mendengar, lisan dan menulis.

“Bagi ujian menulis itu, saya perlu buat karangan tapi tak berapa panjang dan juga ujian perbualan dengan AI (kecerdasan buatan). Untuk ujian itu saya tidak tahu bila saya akan ambil tapi apabila dah betul-betul yakin untuk jawab, baru saya akan buat,” katanya.

Umar sebelum ini mencipta sensasi di Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) di Chengdu, China apabila sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan dimilikinya.

Dia yang meraih emas di Sukan SEA Kemboja, Mei lalu mencatatkan 46.09 saat (s) dalam saringan separuh akhir ketiga acara 400 meter (m) lelaki di Stadium Pusat Sukan Shuangliu.

Ia sekali gus memadam rekod kebangsaan yang dilakukannya sebelum ini dengan catatan 46.33s. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya