'Ulat' pujuk rayu pelanggan sebelum dijerat tambang melampau

‘Ulat’ pujuk rayu pelanggan sebelum dijerat tambang melampau

AZRIN Borhan melihat kenderaan yang ditahan JPJ pada Op Ulat di KLIA Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pujuk rayu berulang kali kononnya boleh melakukan penghantaran pantas ke mana-mana destinasi sebelum pelanggan terjerat dengan tambang melampau.

Itu modus operandi dilakukan aktiviti khidmat kereta sewa haram atau ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2, di sini hari ini.

Taktik itu adalah antara yang dikesan menerusi penyamaran anggota oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengesan aktiviti ulat di pintu masuk udara negara itu sejak Januari hingga Oktober lalu.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, pihaknya mendapati, ‘ulat’ ini menawarkan janji palsu kepada pelanggan kononnya boleh melakukan penghantaran pantas pada harga berpatutan.

Bagaimanapun, katanya, selepas berjaya mendapatkan pelanggan, mereka kemudian mengenakan caj melampau dan harga dikenakan itu lebih mahal pada khidmat teksi biasa dan limo.

“Sejak Januari hingga Oktober lalu, seramai 136 orang ‘ulat’ berusia lingkungan 20 hingga 60-an telah ditahan termasuk dua warga Yaman selain menyita 136 buah kereta pelbagai jenama seperti Perodua Alza, Toyota Camry, Toyota Vellfire dan Toyota Alphard serta Perodua Bezza.

“Ssemakan mendapati 123 buah adalah kenderaan persendirian dan 13 buah lagi menggunakan kenderaan awam,” katanya dalam sidang akhbar di KLIA di sini, hari ini.

Katanya, ‘ulat’ ini dikesan menawarkan perkhidmatan kereta sewa kepada orang awam serta pelancong asing yang baharu tiba di balai ketibaan KLIA dan KLIA2.

Azrin berkata, pihaknya juga mendapati, ‘ulat’ ini bergerak secara sendirian di mana harga tambang dikenakan sekitar lingkungan RM60 hingga RM300 bagi perjalanan ke Kuala Lumpur bergantung kepada jenis kenderaan.

Menurutnya, menerusi operasi terbaharu dalam tempoh dua hari sejak 1 November lalu, pihaknya turut menahan tiga pemandu kereta sewa haram di KLIA dan KLIA 2.

Dalam perkembangan sama, Azrin berkata, bagi tempoh 2015 hingga Oktober tahun ini, sebanyak 766 kes ulat direkodkan di Selangor di mana 29 individu telah dikenakan tindakan mahkamah.

“JPJ memandang serius kegiatan ini kerana mereka mengaut keuntungan secara haram. Kami akan bertindak tegas bagi membendung kegiatan ulat yang dilihat boleh merosakkan imej di sektor pelancongan negara,” katanya.

Katanya, sebaran aktiviti khidmat kereta sewa haram boleh disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Seksyen 243(1) akta yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya