BANGI: Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tan Sri Rafiah Salim dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu.
Perisytiharan lantikan tersebut disempurnakan oleh Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Majlis Konvokesyen Ke-51 UKM semalam.
Tuanku Muhriz dalam titahnya menzahirkan tahniah dan penghargaannya kepada kedua-dua Pro-Canselor baharu UKM.
“Kedua-dua tokoh ini mempunyai latar belakang yang berbeza dan amat berpengalaman dalam bidang masing-masing.
“Kehadiran mereka bersama dengan Pro-Canselor sedia ada iaitu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, sudah pasti akan memantapkan pengurusan UKM dalam merencana masa hadapan UKM,” titah baginda.
Baginda juga bertitah agar semua warga UKM sentiasa mendokong aspirasi penubuhan universiti tersebut.
“Misi dan visi penubuhan UKM seharusnya menjadi penggera yang sentiasa menyeru semua warga kepada sebuah anjakan paradigma, dalam usaha memperkembangkan sektor pendidikan tinggi di rantau ini.
“Sebagai universiti watan yang berperanan dalam memperkasa agenda negara bangsa, UKM memikul tanggungjawab yang sangat besar kepada negara.
“Oleh itu, pendidikan di UKM harus dijelmakan berdasarkan ekosistem pendidikan kebangsaan yang meliputi semua aspek kemanusiaan,” titah baginda.
Majlis Konvokesyen UKM Ke-51 itu menyaksikan seramai 7,255 graduan menerima ijazah masing-masing di Dewan Canselor Tun Abdul Razak di sini bermula semalam hingga 30 November ini.
Sementara itu, Tunku Ali Redhauddin sememangnya dikenali sebagai seorang yang aktif dalam pelbagai aktiviti dan program yang melibatkan institusi pendidikan mahupun dalam badan-badan bukan kerajaan dan bidang pelaburan.
Tunku Ali Redhauddin juga menganggotai Ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat di bawah pelaburan TPG Capital, termasuk CVS KL, Pathology Asia Holdings dan Colombia Asia.
Pendekatan beliau terhadap melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat sentiasa dipikul dengan penuh amanah melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti.
Ini termasuklah Tunku Ali Redhauddin tidak pernah berkira untuk berkongsi pengalamannya dalam memberi bimbingan, dorongan dan pendedahan kepada pelajar dan juga golongan profesional muda mahupun yang masih di bangku sekolah.
Sementara itu, Tan Sri Rafiah sebelum ini pernah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung, Pengurusan Sumber Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari tahun 1997 hingga 2002.
Pelantikan tersebut sekali gus mencatatkan beliau sebagai rakyat Malaysia yang pertama dipilih bagi memegang jawatan besar berkenaan.
Pada tahun 1995, beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia. – UTUSAN