Tunggu inflasi pulih baru semak tarif air

Tunggu inflasi pulih baru semak tarif air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan tarif air sewajarnya ditangguhkan sehingga keadaan inflasi kembali pulih bagi mengelakkan bebanan kepada pengguna susulan ketidakstabilan ekonomi.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata, pelaksanaan kenaikan tarif air seeloknya ditangguh sehingga keadaan ekonomi kembali pulih dan stabil.

Azlin berkata, kenaikan tarif air berpotensi menimbulkan impak yang signifikan terutama kepada peniaga dan pengguna. 

“Kenaikan tarif air mungkin mendorong peniaga menaikkan harga produk atau perkhidmatan mereka dalam menghadapi persaingan atau mengalihkan tambahan kos itu kepada pengguna.

“Pada masa yang sama tindakan ini boleh meningkatkan inflasi, oleh sebab itu ia wajar ditangguhkan sehingga keadaan kembali pulih.

“Tarif air dan pengurusan bekalan air di setiap negeri berbeza dan masalah dihadapi juga tidak sama. Apapun jika dicadangkan, keutamaan perlu diberikan kepada pengguna supaya tidak membebankan mereka dalam berdepan krisis ekonomi kini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Azlin berkata,, kerajaan perlu melaksanakan harga siling untuk tarif air di setiap negeri bagi mengelakkan peningkatan tarif yang sewenang-wenangnya selain menjadikan ia panduan bagi operator dalam menetapkan harga yang adil.

“Dalam menghadapi kenaikan ini, penting juga bagi pengguna untuk mengambil langkah berjimat cermat dan menghargai kepentingan air sebagai keperluan asas dalam kehidupan seharian,” 

“PMPM percaya semakan semula tarif air adalah bagi memastikan perkhidmatan bekalan air menjadi lebih baik, cekap dan berkualiti,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, tarif air domestik di semua negeri akan disemak awal tahun depan selepas ada negeri tidak pernah berbuat demikian dalam tempoh 40 tahun.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), Saravanan Thambirajah berkata, semakan tarif air dapat membantu kepada penambahbaikan dalam infrastruktur yang berkaitan seperti sistem logistik dan paip.

Katanya, menerusi semakan tarif air lebih banyak masalah yang dapat diselesaikan seterusnya mampu memberikan bekalan air yang sihat dan selamat untuk digunakan sepanjang masa.

“Pada waktu sekarang, memang banyak negeri mengalami gangguan bekalan setiap tahun. Ada saja gangguan bekalan di banyak tempat, jadi apa yang diharapkan selepas  semakan ini, ia tidak lagi membebankan operator,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, kerajaan negeri perlu membantu operator dengan memberikan bantuan dalam memastikan air yang terawat dapat disalurkan kepada pengguna secara tepat dan selamat.

Dia berharap kerajaan juga dapat memberikan bantuan kepada pengguna terutama golongan miskin, B40 dan sesetengah golongan M40 yang terkesan agar mereka tidak terbeban dengan kenaikan harga tarif air.

“Mungkin boleh berikan subsidi terus kepada pengguna. Contohnya seperti bil elektrik, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan rebat RM40 untuk golongan miskin tegar dan ada juga operator yang menyalurkan bantuan sedemikian kepada golongan ini.

“Kami harap ini diteruskan melalui kerajaan persekutuan agar pengguna-pengguna tidak terbeban dengan kenaikan tarif ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya