Tun M, Nor Yakcop mohon batal saman Halim Saad

Tun M, Nor Yakcop mohon batal saman Halim Saad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad dan dua lagi individu memfailkan permohonan untuk membatalkan saman bekas Pengerusi Eksekutif Renong Bhd., Tan Sri Halim Saad berhubung pengambilalihan saham United Engineers Malaysia Bhd (UEM) yang didakwa berlaku secara paksa, 23 tahun lalu.

Permohonan tersebut difailkan pada 16 November lalu di Mahkamah Tinggi di sini oleh Peguam Kanan Persekutuan bagi pihak Dr. Mahathir, bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defenda pertama hingga ketiga.

Menurut afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Nor Mohamed, saman yang dikemukakan oleh Halim adalah sesuatu yang menyusahkan, remeh dan merupakan salah guna proses Mahkamah.

Ujarnya, tindakan saman itu adalah terhalang (estopped) kerana saman serupa diputuskan oleh Mahkamah pada 2013.

“Asas kepada tuntutan plaintif (Halim) dalam writ dan pernyataan tuntutan plaintif adalah sama dengan asas tuntutan plaintif yang terdahulu iaitu mencabar jumlah pampasan yang dibayar kepada bagi pengambilalihan saham plaintif. Isu-isu yang dibangkitkan diputuskan oleh Mahkamah. 

“Oleh yang demikian, plaintif adalah dihalang (estopped) daripada membangkitkan isu ini di hadapan Mahkamah ini pula melalui writ dan penyataan tuntutan ini dan tuntutan plaintif adalah terhalang oleh res judicata (satu perkara yang telah diadili apabila tidak dapat dibangkitkan lagi),”kata Nor Mohamed dalam afidavit tersebut.

Pada 2 Ogos lalu, Halim menyaman Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga bagi menuntut pampasan berhubung kerugian yang dialaminya selepas menjual pegangan saham dalam syarikat itu secara paksa, hampir 23 tahun lalu.

Menurut pernyataan tuntutannya, Halim mendakwa, beliau diarah oleh Dr. Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus saham Renong daripada United Engineers Malaysia Bhd (UEM) sebaliknya dikehendaki menyokong inisiatif kerajaan melalui Khazanah Nasional Bhd. untuk mengambil alih UEM secara tawaran am.

Menurut ahli perniagaan terkemuka itu, tindakan bersama kedua-dua defendan menyebabkan beliau hilang kawalan terhadap Renong serta kawalan secara tidak langsung dalam UEM dan hak sebagai pemegang saham dilucutkan ekoran pengambilalihan UEM oleh Khazanah menyebabkan saham Renong miliknya mengalami penurunan nilai.

Halim juga mendakwa beliau tidak diberikan sebarang pampasan walaupun dijanjikan akan diberikan wang pampasan RM1.3 bilion antaranya meliputi wang tunai sebanyak RM325 juta.

Oleh yang demikian, plaintif memohon deklarasi bahawa beliau pemilik sah dan benefisial saham Renong, bukan UMNO.

Halim turut memohon deklarasi bahawa kerajaan telah secara paksa mengambil haknya untuk melaksanakan tawaran am terhadap UEM dan bertindak melalui defendan pertama dan kedua. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN