KUALA LUMPUR: Tun Abdul Hamid Mohamad menafikan akan hadir ke program Dialog Pulangkan Najib melalui poster iklan yang disiar pihak tertentu.
Program itu dijadual berlangsung pukul 8.30 malam ini di Dataran Bukit Tariq, Klebang Permai, Melaka.
Bekas Ketua Hakim Negara itu dalam kenyataan berkata, beliau tidak mengetahui sebarang maklumat berhubung program berkenaan.
“Saya nafikan poster iklan itu sekeras-kerasnya. Ia adalah satu pembohongan yang tidak bertanggungjawab.
“Saya tidak tahu menahu mengenai dialog itu, malah saya tidak pernah bersetuju untuk hadir sebagai seorang speaker atau dalam apa kapasiti sekalipun.
“Saya menuntut pihak-pihak berkenaan menarik balik poster iklan itu dan meminta maaf kepada saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Poster berkenaan turut tersebar di media sosial baru-baru ini.
Pada 10 November lalu, akaun Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memuat naik hantaran beserta poster iklan tersebut dan menjemput orang ramai supaya hadir ke program berkenaan.
Selain Tun Abdul Hamid, individu lain yang turut dipaparkan ialah peguam bela Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah; bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Dr. Mohamad Ali Mohamad; anak Najib merangkap Exco Puteri UMNO, Nooryana Najwa Najib dan aktivis mahasiswa, Farhan Khairudin. – UTUSAN