Tukang masak menangis diperintah ke Sekolah Henry Gurney - Utusan Malaysia

Tukang masak menangis diperintah ke Sekolah Henry Gurney

SEORANG tukang masak diperintah dihantar ke Sekolah Henry Gurney selepas mengaku bersalah atas tuduhan merompak seorang wanita warga asing di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang tukang masak diperintah dihantar ke Sekolah Henry Gurney selepas mengaku bersalah atas tuduhan merompak seorang wanita warga asing di sebuah bistro di Lebuh Campbell, 28 Oktober lalu.

Perintah itu dikenakan selepas
Muhamad Imran Yahya, 19, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Hakim kemudian memerintahkan
Muhamad Imran dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Melaka sehingga dia berumur 21 tahun.

Muhamad Imran yang memakai baju jersi berwarna biru kelihatan menangis selepas hakim memutuskan keputusan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan rompakan terhadap seorang wanita warga asing dengan mengambil satu unit telefon bimbit jenama Samsung; beg galas; cermin mata; serangkai kunci dan sekeping kad British Columbia Services.

Kesalahan itu dilakukan pada 28 Oktober lalu, kira-kira pukul 5.20 petang bertempat di sebuah bistro di Lebuh Campbell, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa sedang makan di bistro berkenaan dan tiba-tiba datang seorang lelaki iaitu tertuduh dengan menaiki motosikal berwarna oren dan menarik beg galas mangsa.

Mangsa cuba mengejar tertuduh, namun gagal kerana tertuduh melarikan diri menggunakan motosikal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jung Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Jung Keong memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat kepada tertuduh dengan mengambil kira sifat jenayah itu sendiri kerana kesalahan meragut dan merompak di tempat awam adalah kesalahan serius.

”Hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh juga perlu menjadi pengajaran kepada tertuduh serta iktibar kepada masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan anak bongsu dari empat beradik dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan tempoh hukuman memandangkan dia masih mempunyai ibu bapa untuk dijaga dan hanya bersekolah setakat darjah enam.

Tertuduh juga menyatakan dia telah insaf dan tidak akan mengulangi semula perbuatan merompak.

Mazdi dalam penghakimannya berkata, hukuman ke atas tertuduh itu diharapkan dapat membentuk semula dan memberi pengajaran serta dapat membawa tertuduh kembali ke pangkuan masyarakat selepas ini.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan rompakan di Lebuh Campbell dan Batu Feringghi, namun tertuduh tidak mengaku salah atas dua pertuduhan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya