KEMAMAN: Perintah reman terhadap tujuh lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes rogol terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada Julai tahun lalu disambung tiga hari lagi.
Tahanan reman ke atas suspek berusia 14 hingga 19 tahun bermula hari ini hingga Khamis dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini.
Reman tersebut dikeluarkan bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol berkumpulan.
Terdahulu, ketujuh-tujuh suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 10 pagi diiringi polis.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan mendakwa dirogol secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Kijal, pada Julai tahun lalu.
Mangsa mendakwa, sebelum kejadian, dia dibawa salah seorang kenalannya ke sebuah rumah sebelum dirogol tujuh lagi lelaki lain.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan, dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan perubatan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan mangsa.
Menurutnya, kesemua suspek termasuk beberapa suspek yang tidak berasal dari negeri ini, ditahan sejurus laporan polis dibuat, di lokasi berasingan. – UTUSAN