'Transporter' lelaki ditahan bersama 55 guni rokok kretek seludup - Utusan Malaysia

‘Transporter’ lelaki ditahan bersama 55 guni rokok kretek seludup

ROHIZAN Mohamad Saaid menunjukkan rokok kretek seludup yang dirampas daripada seorang 'transporter' dalam sidang akhbar di markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, George Town, Pulau Pinang hari ini. - pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis merampas sebanyak 528,000 batang rokok seludup bernilai lebih RM600,000 termasuk cukai dalam operasi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap, di sini semalam.

Dalam ‘Op Kontraban’ itu, seorang lelaki berusia 54 tahun turut ditahan kerana disyaki berperanan sebagai ‘transporter’ bagi sindiket penyeludupan rokok jenis kretek.

Difahamkan, suspek membawa bekalan rokok seludup itu dari sebuah daerah di Terengganu untuk diedarkan secara terus kepada peniaga kedai runcit di negeri-negeri di kawasan Utara.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Superintenden Rohizan Mohamad Saaid berkata, menerusi maklumat unit risikan marin, suspek yang memandu sebuah van jenis Toyota Hiace ditahan kira-kira pukul 6 pagi di kawasan R&R Sungai Bakap kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan adalah palsu dan kesemua rokok seludup ditutup dengan kain hitam bagi mengelak dikesan pihak polis.

”Hasil pemeriksaan polis menjumpai 55 guni berisi 4,400 karton bersamaan 528,000 batang rokok kretek jenama Surya Gudang Garam dengan anggaran bernilai RM609,840 termasuk cukai.

“Polis turut merampas sebuah van jenis Toyota Hiace dengan anggaran nilai RM40,000,” katanya dalam sidang akhbar di markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, di sini hari ini.

Menurutnya, bekalan rokok itu dipercayai diseludup dari Indonesia menggunakan jalan laut di Terengganu sebelum diambil oleh suspek untuk diedarkan ke kawasan Utara.

Jelas beliau, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah itu sejak tiga bulan lalu serta dibayar RM500 untuk setiap perjalanan dengan penghantaran bekalan dua kali seminggu.

”Dia dipercayai menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur untuk menghantar bekalan rokok ke negeri di Utara dan suspek bergerak pada waktu malam untuk mengelak daripada dikesan,” katanya.

Tambahnya, polis percaya terdapat ahli sindiket lain terlibat dengan kegiatan penyeludupan rokok itu dan mereka menggunakan tonto untuk mengelak aktiviti daripada dikesan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, katanya, suspek ditahan reman selama 10 hari bermula semalam untuk siasatan dan hasil semakan mendapati dia juga mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Kes diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1976,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN