Tinjauan Merdeka Center: Rafizi gagal perkukuh ekonomi, rating Anwar jatuh - Penganalisis

Tinjauan Merdeka Center: Rafizi gagal perkukuh ekonomi, rating Anwar jatuh – Penganalisis

ANWAR IBRAHIM dan RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kegagalan Rafizi Ramli selaku menteri yang sepatutnya bertanggungjawab untuk memperkukuh ekonomi negara menyebabkan ‘rating’ penerimaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jatuh selepas setahun pentadbirannya.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, berdasarkan tinjauan Merdeka Center, kajian ini boleh menterjemahkan kegagalan menteri yang bertanggungjawab dalam ekonomi apabila rakyat tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan dalam pemulihan ekonomi negara.

Beliau berkata, selaku Menteri Ekonomi, Rafizi yang terkenal dengan pelbagai formula untuk menyelesaikan ekonomi negara sebelum ini telah meletakkan harapan dan tanggapan kepada rakyat bahawa beliau boleh melakukan magik untuk memulihkan ekonomi negara.

“Bagi saya Rafizi dari awal telah duduk di kementerian yang salah. Malah keputusan kerajaan memecahkan kementerian kepada tiga yang berkaitan dengan hal ehwal ekonomi juga terburu-buru iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Maka sudah semestinya tidak ada penyelarasan yang baik apabila dasar polisi berkaitan ekonomi dikemudi tiga kementerian berbeza tetapi teras yang sama.

“Justeru saya berpandangan, rombakan Kabinet perlu disegerakan bagi menyusun semula Kabinet dan dilantik Menteri yang sesuai, wibawa dan memahami denyut nadi rakyat,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Merdeka Center mendedahkan kajian bahawa hanya 31 peratus pengundi berpandangan negara pada hala tuju betul, manakala 60 peratus berpandangan hala tuju negara ke arah salah.

Isu ekonomi menjadi kebimbangan utama pengundi, dengan 78 peratus menyatakan isu ekonomi menjadi perkara paling utama didepani rakyat hari ini, jelas badan pemikir itu.

Alasan besar (responden yang beranggapan negara menuju ke arah menyimpang) melibatkan isu ekonomi (56 peratus), kestabilan politik (13 peratus), dan kelemahan pentadbiran (9 peratus).

Kaji selidik mencerminkan jangkaan pengundi kepada pihak pentadbiran bagi menjana semula pertumbuhan ekonomi, termasuk menangani kebimbangan berlarutan terhadap inflasi dan pertumbuhan gaji rendah.

Merdeka Center berkata, kaji selidik dilaksana dengan dana sendiri membabitkan 1,200 pengundi merangkumi 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, 7 peratus India, 6 peratus bumiputera Islam, dan 6 peratus bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak, mencerminkan profil pengundi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya