Tiket feri Kuala Kedah ke Langkawi habis

Tiket feri Kuala Kedah ke Langkawi habis

PENUMPANG menunggu giliran untuk memasuki balai berlepas sebelum menaiki feri ke Pulau Langkawi di Jeti Kuala Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kesemua tujuh trip perjalanan feri ke Langkawi bagi laluan Kuala Kedah ke pulau peranginan itu habis terjual untuk hari ini.

Semakan melalui aplikasi jualan tiket feri mendapati, trip pertama pada pukul 7.30 pagi yang menawarkan 651 tempat duduk habis ditempah pengguna termasuk pelancong.

Malah, tiket feri bagi perjalanan terakhir dari Kuala Kedah pada pukul 4 petang ini juga telah dibeli oleh kesemua 380 penumpang yang ingin ke Pulau Langkawi.

Sementara itu, tinjauan di Jeti Kuala Kedah mendapati keadaan trafik tidak terlalu sesak kerana penumpang sudah membeli tiket masing-masing secara dalam talian.

Seorang kakitangan di jeti berkenaan yang enggan dinamakan berkata, suasana berbeza sekiranya penumpang perlu membeli tiket di kaunter seperti dahulu yang menyebabkan jeti diserbu orang ramai tidak mengira waktu pada musim cuti.

“Sekarang dah mudah, penumpang beli secara dalam talian sahaja. Jadi mereka akan tiba di jeti sekurang-kurangnya 45 minit ke sejam sebelum waktu pelayaran.

“Sebab itu trafik di sepanjang jalan menuju ke jeti tidak lagi sesak seperti dahulu kerana hanya penumpang yang sudah memiliki tiket yang datang ke jeti,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam pada itu, seorang penumpang, Khairi Malik, 40, berkata, dia bersama empat ahli keluarga menaiki feri dari Kuala Kedah kerana tidak sempat membeli tiket feri bagi laluan Kuala Perlis.

“Kalau ikutkan saya memang nak naik di Kuala Perlis kerana lebih dekat jarak perjalanannya tetapi kerana tiket di sana habis saya terpaksa naik di Kuala Kedah.

“Saya memang dah lama bercadang nak bercuti di Langkawi walaupun orang kata kos di sana mahal serta tak ramai orang tapi bagi saya ini atas pilihan masing-masing,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Bagi Faizal Saad, 44, dari Kuala Lumpur, dia memilih untuk membawa ahli keluarga bercuti ke Langkawi kerana tidak memerlukan dokumen perjalanan seperti ke Hatyai, Thailand.

“Anak saya empat orang belum ada pasport, kalau baru nak buat memang perlu kos tambahan jadi saya bawa mereka bercuti di Langkawi sahaja kerana isteri saya pun suka berkunjung ke sana,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN