"Tidak perlu cari peminat, Arwah Mael sudah sediakan untuk kami" - Utusan Malaysia

“Tidak perlu cari peminat, Arwah Mael sudah sediakan untuk kami”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“LETAKLAH di ceruk mana sekalipun XPDC Kita Pengyu beraksi, pasti penuh penonton. Legasi yang arwah tinggalkan memang berharga buat kami. Tak perlu susah payah cari dan kumpulkan peminat, semua arwah dah sediakan untuk kami.”

Itu kata-kata spontan pengurus XPDC Kita Pengyu,Yazid Selamat ketika ditanya tentang sambutan peminat terhadap kumpulan itu setelah ketiadaan vokalisnya, Mael yang meninggal dunia pada April lalu.

Menurut Yazid, bukan mudah untuk meneruskan kegemilangan dan momentum kumpulan legenda ini kerana selain berdepan pelbagai kontroversi serta tohmahan, keserasian dan ukhuwah setiap anggota juga perlu dijaga memandangkan semua ada peminat masing-masing.

“Kekuatan jenama XPDC Kita Pengyu bukan sekadar pada lagu, tetapi aura setiap anggota, Sebab itu, kumpulan ini sentiasa utamakan kualiti dalam setiap persembahan. Mereka tidak bergantung pada individu, tetapi kerjasama setiap anggota,” jelasnya.

Tidak dinafikan jenama XPDC Kita Pengyu cukup dikenali, kehebatan beraksi di pentas memang tidak perlu disangkal. Lagu-lagu berentak keras, slow rock semuanya jadi hafalan peminat, bahkan hampir semua rilisan yang diterbitkan berjaya terjual ratusan ribu unit.

Dilanda kontroversi dan saling bertukar anggota dilihat tidak melemahkan perjuangan kumpulan ini. Aura mereka masih kuat apatah lagi vokalis asal, Mael berada di sini, sekaligus melengkapkan ‘keaslian’ dan ‘kekuatan’ yang dibawa kumpulan ini.

Namun ada suara-suara nakal yang masih menganggap kumpulan legenda ini seharusnya meletakkan jenama mereka di tempat berprestij dan bukan di takuk lama seperti persembahan di tapak ekspo atau karnival di luar bandar.

Mereka seharusnya perlu setaraf dan berdiri sama tinggi dengan beberapa kumpulan ternama yang kerap beraksi dalam siri konsert berskala besar.

Pemain bass merangkap ketua Kumpulan XPDC Kita Pengyu, Azuar Md. Tasi atau lebih dikenali sebagai Zua menegaskan tidak timbul isu merendahkan martabat bila beraksi di pentas kecil atau di luar bandar.

Katanya, mereka langsung tidak berasa terhina, bahkan sentiasa puas kerana dapat membantu ekonomi peniaga di samping meningkatkan jualan mereka.

“Rata-rata maklum balas yang kami terima cukup positif. Perniagaan mereka semakin maju, orang datang berduyun-duyun dan impak beginilah yang kami mahukan kerana berjaya membantu mereka.

“Kekerapan show di tapak karnival dan ekspo juga mencukupi untuk kami meneruskan kelangsungan hidup. Walaupun bayarannya tidak setinggi bermain di pentas besar, tetapi tawaran itu ada setiap minggu dan ini merupakan rezeki kami,” katanya.

Bagaimanapun, dia menegaskan harga berbeza yang diterima juga secara tidak langsung akan memberikan persembahan berbeza. Di karnival konsepnya lebih santai, tetapi di pentas besar pasti lebih menarik kerana itu adalah ‘perniagaan’ mereka sebagai penghibur.

Mengulas tentang kemunculan kumpulan yang menggunakan nama XPDC dan menyanyikan lagu-lagu mereka, Zua beranggapan secara tidak langsung kumpulan tersebut telah mempromosikan nama mereka.

“Secara tidak langsung mereka telah kenalkan XPDC kepada generasi baru yang tidak mengenali kumpulan ini. Saya tahu ramai netizen yang kutuk mereka, tapi kami tak kutuk, hanya lihat dan ketawa sahaja.

Biasalah zaman sekarang, bila hendak cepat popular kena cetuskan kontroversi dan buat orang marah.

“Yang punya hak pun sudah meninggal dunia (JS Kevin) jadi mereka boleh cakap apa sahaja. Tapi jujur saya beritahu kalau nak ‘naik’ kenalah ada material sendiri, malu kalau hanya menumpang karya orang lain,” ujarnya.

Ditanya tentang pemilihan Ary bekas penyanyi kumpulan Farenheit yang mengisi kekosongan Allahyarham Mael ketika ini, Zua menegaskan keserasian antara mereka bukanlah wujud selepas arwah Mael meninggal dunia, tetapi ketika arwah masih ada lagi.

“Ary sudah melakukan persembahan bersama XPDC Kita Pengyu sejak tahun 2020 lagi terutamanya ketika Mael menghadapi masalah kesihatan. Jadi, tidak timbul isu serasi atau tidak, kiranya dia memang pilihan utama kami selepas arwah meninggal dunia,” terangnya.

XPDC Kita Pengyu ketika ini dianggotai oleh Ary (vokal), Jeff (gitar), Zua (bass) dan Amy (drum).

DUA BAND ‘OTAI’ KONGSI SATU PENTAS

Penampilan dua kumpulan ‘otai’, XPDC Kita Pengyu dan Search pastinya akan menjanjikan persembahan hebat dan mantap bersempena Hari Rock Negara Edisi Selatan yang bakal berlangsung di Educity Sports Complex Johor Baharu pada 24 dan 25 November ini.

Menurut pemain gitarnya, Nordin Mohd. Taib, atau lebih dikenali dengan panggilan Din, ini adalah antara momen yang ditunggukan apabila berpeluang beraksi di negeri kelahiran sendiri.

Katanya, Search akan memberikan persembahan terbaik mereka pada malam itu dengan menampilkan lagu-lagu hits yang berada dalam koleksi mereka.

“Meskipun tidak banyak perubahan tetapi yang pasti akan ada kelainan. Apa yang boleh kami janjikan adalah mengekalkan lagu-lagu terbaik dan mesra peminat, dan disebabkan beraksi di negeri kelahiran sendiri, mungkin ‘nakal’ itu akan lebih sedikit berbanding sebelumnya,” katanya tertawa.

Wakil penganjur Hari Rock Negara Edisi Selatan, C&M Music Centre Sdn. Bhd, Adib Abdullah berkata, pelbagai langkah diambil untuk merealisasikan acara berprestij yang bertemakan rock ini kepada peminat. Selain menggunakan teknologi bunyi dan cahaya yang canggih mereka juga akan menyelitkan pelbagai elemen dalam memeriahkan acara tersebut.

“Fungsi kami adalah bertindak sebagai perantara yang dapat menghubungkan komuniti peminat muzik rock di Malaysia. Program ini diharap dapat memperkuatkan hubungan sosial dalam komuniti dan membentuk satu jaringan positif untuk kita sama-sama berkumpul, menyaksikan persembahan dan berkongsi pendapat.

“Hari Rock Negara telah diadakan pada tahun lalu dengan pelbagai aktiviti antaranya, gerai jualan usahawan tempatan, pelancaran album, forum, kartun, rock, qasidah, wayang pacak, showcase dan acara Battle of The Bands, dan telah mencatatkan lebih daripada 16,000 pengunjung,” katanya.

Selain itu, penganjur turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), Syria Care bagi membantu mengutip sumbangan untuk tabung Search XPDC Voyage of Asia for Palestine.

Malah, satu majlis tahlil untuk Allahyarham Mael XPDC dan Yazid Search juga akan diadakan termasuk mendapatkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga dua legenda rock itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya