Tidak kompromi isu buruh paksa

Tidak kompromi isu buruh paksa

V Sivakumar menghiasi sambutan Deepavali ketika Majlis Ramah Mesra Kementerian Sumber Manusia Sempena Sambutan Deepavali 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan berkompromi sebarang amalan ‘buruh paksa’ terhadap pekerja asing di negara ini termasuk sektor pembantu rumah.

Menterinya, V Sivakumar berkata, pihaknya tidak menafikan ada menerima aduan kes berkaitan amalan buruh paksa di negara ini termasuk tidak membayar gaji.

Beliau berkata, isu sedemikian memang sentiasa dalam perhatian kementerian, malah arahan sudah diberikan kepada Jabatan Tenaga Kerja supaya tindakan tegas diambil terhadap majikan yang melanggar undang-undang itu.

“Kita mahu memastikan bahawa Malaysia bebas daripada amalan buruh paksa dan ia sudah menjadi aspirasi KSM.

“Kita tidak nafikan tiada kes (buruh paksa) sebaliknya sentiasa berwaspada dan sedia mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang menyalah guna kuasa dan diskriminasi terhadap pekerja,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Deepavali peringkat KSM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono berhubung isu penganiayaan terhadap pembantu rumah Indonesia di negara ini seperti yang dilaporkan semalam.

Antara aduan dikemukakan Hermono termasuk pekerja yang tidak menerima gaji bulanan selama 19 tahun.

Mengulas lanjut, Sivakumar mengakui pihaknya ada menerima aduan berhubung kes terbabit sebelum ini dan tindakan telah diambil termasuk menyelamatkan mangsa.

Pada masa sama, Sivakumar berkata, beliau mahu pihak Indonesia membuat laporan segera kepada Jabatan Imigresen (JIM) dan JTK jika wujud sebarang aduan berkaitan supaya tindakan segera boleh diambil.

Menurutnya, majikan yang cuai akan diambil tindakan tegas dan beliau akan memastikan individu terbabit diheret ke mahkamah.

Semalam, Hermono dilaporkan berkata, kira-kira 90 peratus aduan diterima pejabat KBRI berkaitan pembantu rumah menunjukkan trend membimbangkan antaranya tidak dibayar gaji bulanan, dan memerlukan penyelesaian segera serta menyeluruh daripada majikan serta penguatkuasaan ketat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya