Tiada perubahan kenyataan, serah bukti kepada polis - Siti Mastura

Tiada perubahan kenyataan, serah bukti kepada polis – Siti Mastura

DR. SITI Mastura Muhammad hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung isu mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Lim Guan Eng hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad tidak membuat sebarang perubahan kenyataan berhubung ucapannya pada kempen pilihan raya negeri di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Peguamnya, Ahmad Amzar Ahmad Azlan berkata, anak guamnya telah menyerahkan segala bukti termasuk bahan-bahan rujukan kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.

Beliau berkata, sebanyak 10 soalan ditanyakan kepada Siti Mastura oleh pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Kita juga telah memberikan bahan-bahan rujukan berkenaan ucapan yang disampaikan pada kempen pilihan raya di Kemaman kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.

“Saya percaya pihak polis akan melakukan siasatan lanjut dan jika diperlukan, kita akan terus membantu serta memberi kerjasama diperlukan.

“Kita serahkan kepada pihak polis menyelesaikan siasatan dan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, Siti Mastura dan Ahmad Amzar dilihat tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 11 pagi bagi memberi keterangan.

Proses tersebut berlangsung selama satu jam 30 minit sebelum Siti Mastura keluar pada 12.30 tengah hari.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzar berkata, pihaknya telah menerima empat surat tuntutan berhubung isu tersebut.

Menurutnya, surat tuntutan itu telah dikemukakan oleh bekas Pengerusi DAP, Tan Sri Lim Kiat Siang; bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng serta Ahli Parlimen Seputeh, Teressa Kok.

Jelasnya, kesemua surat tuntutan itu dihantar ke pejabat Ahli Parlimen Kepala Batas tersebut baru-baru ini.

Namun begitu jelas beliau, pihaknya masih belum meneliti sepenuhnya surat tuntutan tersebut tetapi percaya ia berkait rapat dengan kandungan ucapan Siti Mastura yang telah dibuat di Kemaman.

Ditanya sama ada Siti Mastura akan membuat permohonan maaf, beliau berkata, pihaknya perlu meneliti sepenuhnya terlebih dahulu surat tuntutan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, Siti Mastura masih dengan kenyataan yang diucapkan sebelum ini di Kemaman.

“Buat masa ini kita baru terima dan meneliti tuntutan tersebut sebelum membuat pertimbangan dengan pilihan yang ada,” katanya.

Sementara itu, Siti Mastura berkata, segala bukti yang diserahkan kepada pihak polis diharap dapat memudahkan urusan siasatan.

“Kes ucapan di Kemaman itu dipercayai berkait dengan isu agama, raja dan kaum (3R),” katanya.

Setakat semalam, enam laporan polis sudah diterima berkait kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat, Dr. Siti Mastura dalam majlis ceramah politik di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini, mengaitkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng sebagai sepupu bekas Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Selain itu, Ahli Parlimen Kepala Batas itu juga mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew sebagai sepupu Kit Siang dan mengaitkan isteri Guan Eng, Betty Chew bersepupu dengan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok.

Beliau juga didakwa mengaitkan pemimpin DAP lain, termasuk Setiausaha Agungnya merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya