IPOH: Tiada kesan penderaan terhadap empat beradik berusia 11 tahun hingga 10 bulan yang ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah dekat Kampung Gajah, Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dan operasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, keputusan itu berdasarkan hasil pemeriksaan pakar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Kita telah hantar empat beradik itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Berdasarkan rekod perubatan, tiada (kesan dera). Mereka hanya ditinggalkan di situ (pondok pengawal) sahaja.
“Buat masa ini, kanak-kanak itu masih berada di hospital sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapatkan perintah mahkamah untuk menempatkan mereka di institusi penjagaan di bawah seliaan jabatan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat negeri Perak di Dewan Bankuet Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya sedang mengesan ibu bapa atau waris terdekat empat beradik berkenaan bagi membantu siasatan.
Setakat ini katanya, tiada mana-mana pihak yang tampil berhubung dengan JKM termasuk daripada individu yang dikatakan sebagai nenek kepada empat kanak-kanak malang itu.
“Mungkin ada masalah lain yang menyebabkan mereka belum tampil, apa pun kita sedang tunggu bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.
Menerusi laporan media pada Jumaat lalu, empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan ditinggalkan seorang wanita tidak dikenali di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah.
Kejadian sekitar jam 10.50 pagi itu membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun bersama dua adik lelaki mereka masing-masing 3 tahun dan 10 bulan. – UTUSAN