Tiada gerakan jatuhkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri - Anthony Loke - Utusan Malaysia

Tiada gerakan jatuhkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri – Anthony Loke

ANTHONY Loke ketika berucap dalam Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023, di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan tiada sebarang gerakan untuk menjatuhkan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri seperti yang didakwa sebelum ini.

Anthony berkata, beliau mendengar pelbagai khabar angin mengenai perkara itu dan memilih untuk menyatakan secara terbuka pendirian pucuk pimpinan dan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengenai kedudukan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri sempena Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023 hari ini.

ANTHONY LOKE

“Saya secara tegas, lantang menyatakan tidak ada gerakan menjatuhkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri, tidak ada dan tidak akan ada.

“Saya bersama Pengerusi Kebangsaan, bersama seluruh ahli CEC telah memberikan sokongan kepada Kon Yeow untuk menerajui kerajaan negeri dan kita konsisten untuk melihat Kon Yeow meneruskan tugas dan kerajaan negeri berjaya dalam pentadbiran.

“Saya ingin beritahu jangan percaya khabar angin dan desas-desus, tiada gerakan menggantikan Kon Yeow sebab di Pulau Pinang tidak ada ‘Gerakan’ lagi,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Kon Yeow.

Desas-desus mengenai usaha menggantikan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang timbul sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung di enam negeri pada 12 Ogos lalu.

Mengulas lanjut ketika sidang akhbar, Anthony berkata, beliau sendiri tidak tahu daripada mana timbul khabar angin mengenai dakwaan terdapat gerakan untuk menjatuhkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.

“Saya sendiri dengar daripada media, tidak sampai beberapa bulan selepas angkat sumpah jawatan Ketua Menteri ada desas-desus ini, itu semuanya tidak betul.

”Sebab itu saya secara terbuka menyatakan tidak benar ada komplot untuk menjatuhkan Kon Yeow, setahu saya di peringkat parti tidak ada apa-apa perbincangan untuk menggantikan beliau, tidak ada tajuk tersebut,” katanya.

Tambahnya, Pulau Pinang adalah negeri pertama yang melakukan reformasi institusi yang mana Ketua Menteri yang dilantik akan melaksanakan tugas selama dua penggal dan kepimpinan DAP pusat berpegang kepada perkara tersebut.

Dalam pada itu, ditanya sama ada DAP telah mempunyai pengganti kepada Kon Yeow yang kini berada dalam penggal keduanya sebagai Ketua Menteri, Anthony berkata, kepimpinan parti belum berbincang mengenai isu terbabit.

“Belum ada pengganti, kita telah buat reformasi di Pulau Pinang bahawa Ketua Menteri boleh berkhidmat selama dua penggal dan Kon Yeow sedia maklum mengenai perkara ini.

”Kita juga belum buat keputusan mengenai siapa pengganti sebab kita ada empat tahun lagi, namun prosesnya kena ada. Kita kena lihat siapa ada kelayakan dalam tempoh ini sama ada orang baharu atau ADUN sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Anthony turut menafikan hubungan antara Kon Yeow dan Guan Eng dingin ketika ini seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Tadi ‘okay’ (Guan Eng dan Kon Yeow), mereka sama sama minum kopi, dingin sebab ‘aircond’ (pendingin hawa),” katanya berseloroh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya