KUALA NERUS: Nasib malang menimpa finalis Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC) apabila tewas empat gol tanpa balas kepada Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, sebentar tadi.
Kem pelawat hanya memerlukan enam minit untuk memecahkan kebuntuan melalui Ramon Machado yang melakukan voli menarik hasil hantaran Rizal Ghazali dari sebelah kanan.
Jaringan itu menaikkan semangat Sabah menyaksikan percubaan ketua pasukan, Park Taesu, pada minit ke-11 terkena tiang ketika penjaga gol TFC sekadar terkaku di posisinya.
Sabah memperoleh gol kedua minit ke-29 hasil rembatan deras pemain sayap, Saddil Ramdani dari luar kotak berpunca serangan balas dari bawah untuk Sabah makin selesa mendahului.
TFC yang sesekali mengatur gerak memiliki peluang terbaik untuk merapatkan jurang, namun sepakan ketua pasukan, Habib Haroon tepat ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat minit ke-38.
Dua minit kemudian gawang tuan rumah bocor lagi setelah Garrido Cifuentes yang tidak dikawal mudah menyambar masuk bola hantaran Rizal dan menjadikan kedudukan 3-0.
Hantaran kurang cermat pemain TFC, Norhakim Hassan kemudian nyaris menghadiahkan gol keempat Sabah mujur percubaan Machado (m-43) diselamatkan penjaga gol.
Pertukaran pemain selepas rehat gagal mengubah nasib TFC sebaliknya Sabah menambah gol keempat minit ke-48 melalui Jafri Firdaus Chew yang menerima umpanan Machado dari sebelah kiri.
Selesa mendahului empat gol, Sabah memperlahankan rentak namun segalanya serba tidak menjadi buat TFC selepas jaringan Ivan Mamut minit ke-85 dibatalkan kerana ofsaid.
Pengadil, Nafeez Abd. Wahab menamatkan aksi mengesahkan kemenangan 4-0 untuk Sabah mengutip 48 mata di tempat keempat manakala TFC kekal di tangga keenam dengan 36 mata. – UTUSAN