Tenggiling dalam bagasi, warga India dicekup

Tenggiling dalam bagasi, warga India dicekup

WONG Pun Sian menunjukkan tenggiling yang diseludup di KLIA2,Sepang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gara-gara menyeludup tiga ekor tenggiling dalam bagasi, seorang lelaki warganegara India ditahan ketika mahu memasuki negara ini di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 28 Oktober lalu.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Wong Pun Sian berkata,  Pasukan Taskforce Pencegahan Penyeludupan Hidupan Liar mendapat maklumat daripada Polis Bantuan KLIA2 yang terlebih dahulu menahan lelaki berkenaan setelah mengesan imej mencurigakan disyaki hidupan liar.

Katanya, pemeriksaan kemudiannya dibuat oleh Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan membuka bagasi itu dan menemukan tiga bekas kecil mengandungi hidupan liar iaitu tenggiling dari kumpulan spesis Armadillo.

“Pemilik bagasi kemudiannya ditahan bersama-sama dengan hidupan liar tersebut dan dibawa ke pejabat Jabatan Perhilitan di KLIA2 untuk proses dokumentasi dan pengecaman spesis hidupan liar tersebut.

“Sehubungan itu, kes diserahkan kepada JKDM dan suspek direman bagi membantu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Pun Sian, modus operandi sindiket adalah menawarkan kepada suspek melalui ejen di India yang menguruskan bagasi untuk membawa bagasi ke Colombo.

“Semua urusan tiket penerbangan serta penginapan diuruskan oleh ejen tersebut.

“Urusan serahan bagasi dilakukan di kawasan Gateway KLIA 2 sebelum suspek membawa bagasi tersebut bagi menaiki penerbangan ke destinasi yang dituju,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengeksport barang-barang larangan tanpa kelulusan.

Sehubungan itu, Pun Sian menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Orang awam diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya