KLUANG: Bunyi dentuman kuat yang disangka guruh dan petir di depan rumah rupa-rupanya tembok penahan tanah yang roboh selepas hujan lebat melanda kawasan Rumah Rakyat Gunung Lambak, petang kelmarin.
Akibatnya aliran air dari longkang di taman permainan tersumbat lalu melimpah ke dalam parit di hadapan rumah penduduk di Jalan Semarak Api 3, kawasan perumahan berkenaan.
Seorang penduduk, Shahila Manat, 37, berkata, tiada sebarang amaran atau tanda-tanda tembok itu akan roboh menyebabkan mereka terkejut apatah lagi mendengar bunyi dentuman yang kuat.
Lebih mengejutkan kerana tembok berkenaan dibina pada awal tahun ini dan tidak dijangka rosak dan roboh.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika saya, suami dan anak sedang berehat di dalam rumah sebelum bergegas ke hadapan rumah selepas mendengar bunyi seperti guruh dan petir menyambar.
“Apabila mengintai dari cermin tingkap, saya dapati berlaku runtuhan tebing kira-kira lima meter dari hadapan rumah dan air mula melimpah ke jalan dan memasuki parit yang menjadi pemisah antara rumah kami dan jalan raya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Justeru, Shahila berharap tembok berkenaan dibaiki segera kerana dikhuatiri berlaku runtuhan tanah apabila hujan lebat dan air melimpah jalan di hadapan rumah penduduk.
“Kami berharap ada tindakan segera boleh dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Kluang (MPK) bagi mengatasi masalah ini sebelum keadaan lebih buruk berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Whip MPK, Md. Norhalim Md. Amin berkata, kejadian runtuhan tebing kawasan permainan itu telah dimaklumkan kepada pihaknya. – UTUSAN